Jumaat, 4 Disember 2020 | 8:41pm
Reaktor HL-2M Tokamak yang dikenali sebagai ‘matahari buatan’ dipamerkan di makmal penyelidikan di Chengdu, wilayah Sichuan di timur China. - Foto AFP
Reaktor HL-2M Tokamak yang dikenali sebagai ‘matahari buatan’ dipamerkan di makmal penyelidikan di Chengdu, wilayah Sichuan di timur China. - Foto AFP

China hidupkan 'matahari buatan' kuasa nuklear

BEIJING: China buat kali pertama berjaya menghidupkan reaktor gabungan nuklear atau 'matahari buatan', sekali gus menandakan kemajuan besar negara itu dalam kemampuan penyelidikan tenaga nuklear.

Reaktor HL-2M Tokamak adalah peranti penyelidikan eksperimen peleburan nuklear terbesar lagi termaju di China dan saintis berharap ia berpotensi membuka sumber tenaga bersih.

Ia menggunakan medan magnet yang kuat untuk menyatukan plasma panas dan mampu mencecah suhu lebih 150 juta darjah Celsius, kira-kira sepuluh kali lebih panas daripada pusat matahari.

Terletak di wilayah barat daya Sichuan dan berjaya disiapkan pada akhir tahun lalu, reaktor itu sering digelar 'matahari buatan' kerana tahap kepanasan dan tenaga yang dihasilkannya.

Akhbar People's Daily melaporkan, perkembangan tenaga gabungan nuklear bukan hanya menyelesaikan keperluan tenaga strategik China.

"Sebaliknya, turut memiliki kepentingan besar untuk pembangunan tenaga dan ekonomi nasional China yang lestari di masa hadapan.

"Saintis China sudah berusaha menghasilkan versi reaktor gabungan nuklear yang lebih kecil sejak 2006," katanya.

Selain itu, China juga merancang menggunakan peranti itu untuk bekerjasama dengan saintis yang menghasilkan International Thermonuclear Experimental Reactor, iaitu projek penyelidikan gabungan nuklear terbesar di dunia yang berpusat di Perancis dan dijangka siap pada 2025. - AFP

Berita Harian X