Khamis, 26 November 2020 | 9:34am
Seorang anggota keselamatan berjalan di jalan raya berhampiran pantai di Puducherry, yang dilanda hujan lebat dan ribut kencang berikutan Taufan Nivar membadai selatan India sejak semalam. - Foto AFP
Seorang anggota keselamatan berjalan di jalan raya berhampiran pantai di Puducherry, yang dilanda hujan lebat dan ribut kencang berikutan Taufan Nivar membadai selatan India sejak semalam. - Foto AFP

Taufan Nivar badai selatan India

PUDUCHERRY, INDIA: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala ratusan ribu mangsa terpaksa mencari tempat perlindungan ketika Taufan Nivar yang menyebabkan hujan dan ribut kuat melanda pantai selatan India, pagi ini.

Taufan Nivar mula membadai antara Karaikal di wilayah Puducherry dan Mamallapuram di negeri Tamil Nadu pada jam 3.05 pagi waktu tempatan dengan kelajuan angin sehingga 130 kilometer (81 batu) sejam.

Susulan itu, ribuan anggota penyelamat dan kecemasan dikerahkan di wilayah selatan negeri itu termasuk wilayah Andhra Pradesh dan Puducherry.

Pihak berkuasa juga bertindak menghentikan bekalan elektrik di beberapa bandar untuk mengelakkan kerosakan pada saluran bekalan elektrik.

Menurut laporan media tempatan, seorang wanita di Tamil Nadu maut selepas tembok sempadan runtuh disebabkan hujan lebat malam tadi.

Menurut Jabatan Meteorologi India, taufan itu menyebabkan pokok dan tiang elektrik tumbang ketika hujan lebat terus membanjiri sebahagian wilayah sehingga mengakibatkan banjir kilat dengan daerah Cuddalore, yang merekodkan hampir 244 milimeter (9.6 inci) taburan hujan sejak pagi semalam.

Kerajaan Tamil Nadu kemudiannya mengeluarkan amaran cuaca buruk susulan ribut petir yang dijangka berterusan untuk tempoh beberapa jam.

Menterinya, R B Udhayakumar semalam berkata, kira-kira 175,000 orang dipindahkan ke pusat perlindungan di seluruh negeri itu.

Pihak berkuasa tempatan pula mengisytiharkan cuti am semalam dan hari ini dengan semua kemudahan ditutup kecuali membabitkan perkhidmatan kecemasan.

Operasi perkhidmatan keretapi dan penerbangan di Lapangan Terbang Chennai pula dihentikan hingga pagi ini.

Sementara itu, di Puducherry yang mempunyai 1.6 juta penduduk, jalan dan pasar yang dibasahi hujan, kelihatan lengang dengan Gabenor Leftenan Kira Bedi meminta penduduk tempatan supaya kekal tinggal di rumah selain mematuhi arahan pihak berkuasa. - AFP

Berita Harian X