Rabu, 25 November 2020 | 9:57pm
Anggota polis meronda kawasan pesisir pantai yang dikosongkan berikutan Taufan Nivar semakin menghampiri Puducherry, India. - Foto AFP
Anggota polis meronda kawasan pesisir pantai yang dikosongkan berikutan Taufan Nivar semakin menghampiri Puducherry, India. - Foto AFP

Ribuan penduduk India berpindah angkara taufan

PUDUCHERRY: Ribuan penduduk di tenggara India mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah masing-masing dan berpindah susulan taufan yang dijangka melanda selepas tengah malam ini.

Pakar kaji cuaca menjangkakan Taufan Nivar itu akan mengakibatkan tiupan angin berkelajuan 120 kilometer sejam (km/j) dan meningkat kepada 145 km/j ketika membadai kawasan daratan.

Berikutan itu, ribuan petugas kecemasan peringkat persekutuan dan negeri dikerah ke wilayah selatan India, iaitu Tamil Nadu, Andhra Pradesh dan Puducherry yang dijangka kawasan paling teruk dilanda puting beliung berkenaan pagi esok.

Pihak berkuasa tempatan setakat ini mengumumkan cuti umum yang menyaksikan kesemua operasi dihentikan, kecuali perkhidmatan kecemasan.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Krisis Kebangsaan berkata ribuan penduduk di negeri berkaitan sudah dipindahkan dari kediaman masing-masing bagi tujuan keselamatan.

Hujan lebat ketika ini melanda beberapa negeri dan keadaan itu dijangka bertambah buruk beberapa jam seterusnya.

Di Puducherry, jalan-jalan utama dan pasar di daerah itu lengang tanpa kehadiran orang ramai.

Leftenan Gabenor Puducherry, Dr Kiran Bedi, ketika mengulas mengenai bencana alam itu, merayu orang ramai supaya jangan berada di luar dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Pindah ke tempat lebih tinggi di mana-mana sekali pun. Kita ada sediakan pusat bantuan, justeru pindah ke sana," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Twitter.

Meskipun diarahkan untuk ke tempat selamat, tinjauan mendapati beberapa kelompok penduduk yang mendiami sepanjang kawasan pesisir pantai masih enggan meninggalkan kediaman masing-masing dan bot mereka.

Di ibu negeri Tamil Nadu, Chennai, pihak berkuasa sentiasa memantau paras air di tempat takungan dan tasik bagi mengelak berulangnya banjir seperti yang berlaku pada 2015 sehingga mengorbankan ratusan orang.

Air dari Tasik Chembarambakkam di pinggiran Chennai dijangka melimpah ke kawasan berhampiran berikutan hujan lebat, justeru amaran sudah dikeluarkan untuk perhatian penduduk di zon rendah. - AFP

Berita Harian X