Khamis, 22 Oktober 2020 | 10:18pm
Tetegangan hubungan antara Arab Saudi dan Turki semakin meningkat selepas wartawan Jamal Khashoggi dilaporkan dibunuh di kedutaan Arab Saudi di Istanbul pada 2018. - Foto AFP
Tetegangan hubungan antara Arab Saudi dan Turki semakin meningkat selepas wartawan Jamal Khashoggi dilaporkan dibunuh di kedutaan Arab Saudi di Istanbul pada 2018. - Foto AFP

Peniaga Arab Saudi boikot produk buatan Turki

RIYADH: Pasar raya dan kedai di Arab Saudi mulai mengeluarkan produk keluaran Turki daripada rak jualan mereka seperti acar daun anggur, kopi dan keju, susulan ketegangan hubungan antara Riyadh dan Ankara yang semakin meningkat.

Kedua-dua negara yang sudah lama bersaing untuk menjadi kuasa besar dunia Islam itu, kini terperangkap dalam persaingan geopolitik selepas wartawan Jamal Khashoggi dilaporkan dibunuh di kedutaan Arab Saudi di Istanbul pada 2018.

Arab Saudi negara sumber minyak utama di Asia Barat berusaha menekan ekonomi Turki yang kini sedang bergelut dengan krisis semasa, kesan penurunan jumlah pelancong Arab Saudi ke negara itu.

Gerakan nasionalisme memboikot Turki itu bermula dengan kempen memboikot percutian ke Turki dan memberhentikan pembelian harta di negara berkenaan.

Kini, pengeksport tekstil dan produk dari Turki mengeluh mengenai tindakan kastam menangguhkan kelulusan membawa masuk produk ke negara itu dan mendakwa tindakan itu akan mengganggu rantaian bekalan global.

Minggu ini, Ketua Dewan Perdagangan Arab Saudi mengajak orang ramai "memboikot semua produk yang ditulis dengan bahasaTurki", dan beberapa rangkaian pasar raya mengumumkan mereka sudah pun menghentikan import dan penjualan produk Turki.

"Keputusan berkenaan adalah sebagai soladariti kepada kempen boikot yang dilaksanana," kata salah seorang pemilik pasar raya Abdullah AlOthaim Markets di Twitter.

Beberapa rangkaian kedai runcit menyatakan bahawa mereka akan terus menjual barang berkenaan sehingga kehabisan stok.

Dalam masa yang sama, tinjauan wartawan AFP mendapati jurujual kini membersihkan rak jualan yang mempunyai produk buatan Turki, seperti kopi, coklat dan acar sayuran.

Feta, keju buatan Mesir yang diletakkan di rak sejuk beku dengan tanda keju Turki juga dikeluarkan "Ini adalah masalah yang sangat sensitif," kata pengurus kedai rangkaian runcit terkenal itu kepada AFP.

Enggan dikenali, pengurus itu menyatakan kempen boikot itu mulai berjalan walaupun tiada arahan rasmi mengenainya,

Kedua-dua negara itu berselisih dalam berbagai isu serantau, membabitkan Libya dan Syria hingga Qatar, sekutu utama Turki yang kini berhadapan sekatan ekonomi sejak tiga tahun lalu melalui satu gerakan yang dipimpin Arab Saudi.

Arab Saudi bagaimanapun kini mengambil sikap berhati-hati tidak mahu mengejutkan pelabur asing dan khuatir dengan tindakan Turki mengadu kepada boleh membuat aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia berkaitan isu boikot itu.

Pihak berkuasa tempatan Arab Saudi menafikan mereka mengenakan sekatan kepada produk Turki sebaliknya gerakan berkenaan adalah inisiatif rakyat.

Awal bulan ini, lapan kumpulan perniagaan terkemuka Turki mendakwa banyak syarikat Arab Saudi "terpaksa menandatangani surat komitmen untuk tidak mengimport barang dari Turki".

Sementara itu, Persatuan Kontraktor Turki yang berpusat di Ankara menyebut "pelbagai halangan" membabitkan projek Arab Saudi yang sedang dilaksanakan seperti tiada tawaran tender, kesukaran mendapatkan visa membabitkan kakitangan warga Turki dan kelewatan pembayaran.

"Persepsi negatif terhadap Turki ini akan menjejaskan perniagaan dengan nilai kerugian RM12.3 bilion (AS$3 bilion) di Asia Barat untuk kontraktor kami tahun lalu.

"Arab Saudi sebelum ini dicatatkan sebagai negara kedua dalam senarai paling banyak menawarkan projek (2016-2018), kini berada dikedudukan paling bawah." kata persatuan itu. - AFP

Berita Harian X