Rabu, 14 Oktober 2020 | 6:19pm
Angkasawan NASA, Kate Rubins dan angkasawan Russia, Sergey Ryzhikov dan Sergey Kud-Sverchkov, sejurus sebelum berlepas ke ISS. - Foto AFP
Angkasawan NASA, Kate Rubins dan angkasawan Russia, Sergey Ryzhikov dan Sergey Kud-Sverchkov, sejurus sebelum berlepas ke ISS. - Foto AFP

Russia catat masa terpantas ke stesen angkasa lepas

ALMATY: Dua angkasawan Russia dan seorang angkasawan NASA tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) hanya selepas tiga jam tiga minit penerbangan iaitu tempoh yang terpantas untuk sampai ke makmal di orbit itu.

Ia pelancaran pertama seumpamanya menggunakan kapsul Russia, sejak penerbangan dipandu manusia pertama oleh SpaceX dari Amerika Syarikat (AS).

Sergey Ryzhikov dan Sergey Kud-Sverchkov dari Roscosmos serta Kathleen Rubins dari NASA berlepas dari Baikonur, Kazakhstan pada jam 0545 GMT hari ini.

Jurucakap NASA TV berkata, penerbangan itu berjalan lancar berdasarkan komunikasi antara pusat kawalan misi Russia dan kru, manakala Roscosmos memaklumkan kapsul itu berjaya tiba ke orbit.

Pelancaran itu adalah penerbangan terpantas pertama dipandu manusia ke ISS yang hanya mengambil masa sekitar tiga jam sebelum tiba, sekali gus mengurangkan separuh daripada tempoh perjalanan biasa ke makmal orbit itu.

Hanya kapal angkasa kargo pandu sendiri, Progress, yang pernah menggunakan profil itu, tetapi memerlukan dua orbit sebelum tiba ke ISS.

Sebelum 30 Mei, ketika angkasawan AS, Robert Behnken dan Doug Hurley tiba ke ISS, Russia dan Baikonur memonopoli misi ke ISS.

Dua angkasawan NASA itu selamat kembali pada 2 Ogos lalu dan satu pelancaran baharu SpaceX yang bakal membabitkan misi separuh tahun di stesen angkasa itu, dirancang pada bulan depan.

Kemunculan pihak bebas SpaceX dan Boeing, yang juga sebahagian Program Kru Komersial NASA, mencetuskan perbincangan mengenai perlumbaan angkasa baharu antara beberapa negara.

Bagaimanapun, individu yang pernah ke angkasa tidak melihatnya sebagai satu persaingan, sebaliknya menumpukan pada kemampuan untuk terbang ke angkasa untuk menyatukan pelbagai negara di bawah satu matlamat.

ISS yang dihuni secara tetap sejak 2000, adalah kerjasama yang jarang berlaku antara Moscow dan Washington, namun projek itu mungkin memasuki dekad terakhirnya. - AFP

Berita Harian X