Ahad, 11 Oktober 2020 | 8:00pm
Kes jangkitan India semakin hampir untuk mengatasi Amerika Syarikat (AS) sebagai negara paling teruk terkesan akibat COVID-19 di dunia. - Foto AFP
Kes jangkitan India semakin hampir untuk mengatasi Amerika Syarikat (AS) sebagai negara paling teruk terkesan akibat COVID-19 di dunia. - Foto AFP

COVID-19: Jumlah jangkitan India lepasi 7 juta

NEW DELHI: Kes jangkitan COVID-19 di India melonjak melepasi tujuh juta, menjadikannya semakin hampir untuk mengatasi Amerika Syarikat (AS) sebagai negara paling teruk terkesan akibat COVID-19 di dunia.

Data kementerian kesihatan menunjukkan peningkatan hampir 75,000 kes jangkitan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 7.05 juta kes, kedua tertinggi selepas AS yang mencatat 7.67 juta jangkitan.

Pakar mengatakan jumlah sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi dengan kadar ujian jauh lebih rendah di negara antara paling padat di dunia dengan seramai 1.3 bilion penduduk itu.

Bagaimanapun, angka kematian India sebanyak 108,334 setakat hari ini jauh lebih rendah berbanding AS sebanyak 214,000 kematian dan negara-negara lain dengan jumlah kes yang lebih tinggi.

Faktor yang mempengaruhi jumlah kematian mungkin kerana populasi India yang ramai golongan muda dengan imunisasi yang kuat, namun jangkitan kembali meningkat selepas kerajaan India melonggarkan sekatan dilakukan sejak Mac lalu untuk meningkatkan ekonomi yang hampir lumpuh.

Khamis lalu, panggung wayang dibuka semula dan pakar bimbang dengan musim perayaan yang bakal tiba dan orang ramai berkumpul, yang akan memburukkan lagi keadaan.

Namun, kerajaan sudah mengeluarkan garis panduan yang ketat untuk dua perayaan iaitu Dussehra dan Diwali, manakala Perdana Menteri, Narendra Modi melancarkan kempen pemakaian pelitup muka dan kebersihan serta penjarakan fizikal.

"Usaha kolektif ini membantu menyelamatkan banyak nyawa. Kita harus meneruskan momentum dan melindungi warga negara kita dari virus," tulisnya dalam ciapan di Twitter.

Virus pada mulanya melanda bandar seperti Mumbai dan New Delhi, kemudian merebak ke hampir setiap bahagian termasuk kepulauan Andaman dan Nicobar yang terpencil.

Baru-baru ini, jumlah kes baharu menurun dari hampir 100,000 pada pertengahan September menjadi sekitar 60,000 hingga 70,000 kes.

Bagi Preeti Kumar dari Yayasan Kesihatan Awam India yang berpusat di Delhi berkata, masih terlalu awal untuk menganggap India mencapai puncaknya.

"Apa yang dipelajari ialah kita mesti berhati-hati. Penurunan ini adalah nyata tetapi bergantung pada banyak faktor seperti ujian, jenis ujian, keberkesanan intervensi dan lain-lain," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X