Ahad, 27 September 2020 | 8:07pm
Gambar menunjukkan salah sebuah premis dikawal ketat di Xinjiang, China, disyaki pusat tahanan etnik minoriti. - Foto AFP
Gambar menunjukkan salah sebuah premis dikawal ketat di Xinjiang, China, disyaki pusat tahanan etnik minoriti. - Foto AFP

China pertahan dasar Xinjiang di sebalik kemarahan antarabangsa

BEIJING: Presiden China, Xi Jinping melipat gandakan dasar China terhadap Uighur di wilayah Xinjiang di barat negara itu, walaupun mendapat kecaman antarabangsa.

"Fakta membuktikan dasar parti mengenai Xinjiang dalam era baharu adalah betul sepenuhnya dan mesti dipatuhi untuk jangka masa panjang," menurut media rasmi, Xinhua News Agency memetik kenyataan Jinping ketika mesyuarat kerja di Beijing pada Jumaat dan Sabtu.

Komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada China berhubung layanannya terhadap umat Islam Uighur di Xinjiang, yang mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangka ratusan ribu anggota etnik minoriti itu ditahan di "kem pendidikan semula".

Beijing sebelum ini mempertahankan kem berkenaan sebagai "pusat pendidikan vokasional" untuk "membersihkan penyakit ideologi", termasuk keganasan dan ekstremisme agama.

Pentadbiran Presiden Donald Trump sudah mengenakan sekatan terhadap puluhan syarikat China dan pegawai berpangkat tinggi berikutan penahanan paksa penduduk Islam Uighur.

Pembekal terkini dan bekas pembekal kepada jenama pakaian antarabangsa besar termasuk Ralph Lauren, Tommy Hilfiger dan Nike sudah dikenakan sekatan, manakala Walt Disney Co berdepan permintaan boikot berikutan penggambaran sebahagian aksi langsung filem "Mulan" di Xinjiang.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron Selasa lalu meminta PBB mengetuai misi ke China pagi memeriksa amalan hak asasi manusia di wilayah itu.

China mempertikaikan anggaran penduduk di luar kem, tanpa memberikan angkanya sendiri.

Kemudahan itu dibina selepas rangkaian serangan maut membabitkan orang Uighur pada 2013 dan 2014, yang mendorong Jinping untuk memerintahkan pihak berkuasa "menyerang dulu" bagi melawan ekstremisme Islam.

Laporan Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) minggu lalu menunjukkan China terus melabur di kem tahanan, walaupun pegawai sebelum ini mengatakan bahawa semua pelajar sudah "lulus".

Secara keseluruhan, institut penyelidikan itu mengenal pasti 380 tempat penahanan yang disyaki dibina sejak 2017 di wilayah itu, berukuran kira-kira saiz Alaska dan menjadi rumah kepada kira-kira 10 juta orang Uighur yang berbahasa Turki.

Media dan diplomat China sering menyerang kredibiliti ASPI, yang ditubuhkan kerajaan Australia pada 2001 dan mendedahkan dana tambahan daripada kontraktor pertahanan global dan misi diplomatik Barat. - BLOOMBERG

Berita Harian X