Jumaat, 18 September 2020 | 12:02pm
- Foto Shutterstock
- Foto Shutterstock

Maghribi rampas 2 tan ganja, 20 kg kokain

RABAT: Kira-kira dua tan ganja dan lebih dari 20 kilogram (kg) kokain disita dalam tiga operasi berasingan minggu ini di utara Maghribi, menurut badan keselamatan nasional dan media tempatan semalam.

Perkhidmatan keselamatan Maghribi, DGSN, berkata polis merampas ganja seberat 920 kg dalam satu kenderaan yang hendak menaiki feri ke Perancis semalam di pelabuhan Tanger Med, terminal kargo maritim terbesar di Mediterranean.

"Pemandu kenderaan itu, seorang rakyat Maghribi berusia 42 tahun, ditahan, " katanya.

Kelmarin, tiga individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian jenayah yang aktif dalam perdagangan kokain antarabangsa ditahan di Nador.

Salah seorang daripada tiga yang ditahan itu berjaya ditangkap ketika menaiki jet ski dan pemeriksaan mendapati suspek memiliki 21 bungkusan yang berisi sekitar 21 kg kokain," kata DGSN.

Dua yang ditahan turut disyaki memiliki bahan khayal berkenaan

Selasa lalu pula, pengawal pantai merampas sebuah kapal layar, dua jet ski dan sebuah bot laju dalam operasi anti-dadah di Mediterranean.

Menurut agensi berita rasmi MAP, lima suspek ditahan dalam operasi itu termasuk tiga warga Sepanyol dan dua rakyat tempatan manakala kira-kira satu tan resin ganja dirampas.

Maghribi adalah antara negara pengeluar ganja utama di dunia, walaupun pihak berkuasa memberitahu mereka berjaya merampas dan menyekat pengedaran kira-kira 180 tan dadah tahun lalu.

Sedekad lalu, pengeluar kokain Amerika Latin menggunakan rangkaian ganja di Afrika Utara untuk menyeludup dadah mereka sendiri ke Eropah.

Ini menyebabkan pihak berkuasa di sepanjang pantai selatan Sepanyol meningkatkan operasi sejak 2018, dengan 8.5 tan kokain disita dalam masa kurang dua tahun. - AFP

Berita Harian X