Rabu, 9 September 2020 | 9:45am
Askar Pakistan mengawal di luar Mahkamah Tinggi Lahore di mana Asif Pervaiz dijatuhkan hukuman mati. - Foto AFP
Askar Pakistan mengawal di luar Mahkamah Tinggi Lahore di mana Asif Pervaiz dijatuhkan hukuman mati. - Foto AFP

Lelaki Pakistan dihukum mati kerana hina Islam

LAHORE: Mahkamah Pakistan semalam menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki beragama Kristian yang disabitkan kesalahan menghantar mesej memiliki 'kandungan yang menghina Islam'.

Asif Pervaiz, 37, yang ditahan sejak 2013, melawan pertuduhan menghina Islam itu yang didakwa oleh penyelia sebuah kilang tempat dia pernah bekerja sebelum ini.

Peguamnya, Saif-ul-Malook, memberitahu AFP bahawa Asif menafikan semua dakwaan terhadapnya dan hanya menghantar semula mesej yang dipersoalkan itu selepas menerimanya daripada orang lain.

"Hakim sepatutnya menolak kes ini, kami akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Lahore.

"Asif sudah pun menghabiskan tujuh tahun untuk menunggu keputusan mahkamah, siapa tahu berapa lama lagi dia perlu menunggu hingga semuanya selesai," katanya.

Menghina Islam adalah isu yang sangat sensitif di Pakistan, dengan undang-undang membenarkan hukuman mati pada individu yang disabit kesalahan terbabit.

Asif mendakwa penyelianya, yang cuba memaksanya menukar agama untuk memeluk Islam, menuduhnya menghina Islam selepas dia berhenti bekerja di kilang itu.

Agama minoriti di negara itu, termasuk Kristian, adalah antara kumpulan paling terancam dengan penyalahgunaan undang-undang menghina Islam itu.

Berdasarkan Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa Amerika Syarikat (AS), sekitar 80 peratus individu dipenjarakan di Pakistan atas pertuduhan itu dengan sebahagiannya dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau dihukum mati.

Bulan lalu, seorang lelaki yang dituduh menghina tuhan mati ditembak dalam mahkamah di bandar Peshawar. - AFP

Berita Harian X