Isnin, 7 September 2020 | 5:11pm
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud. - Foto AFP
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud. - Foto AFP

Raja Arab Saudi mahukan penyelesaian adil dalam isu Palestin

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, mahukan penyelesaian yang adil dan berkekalan berhubung isu Palestin dimuktamadkan sebagai asas utama Inisiatif Damai Arab yang diusulkan negara itu.

Perkara itu dimaklumkan Baginda sendiri kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam satu perbualan telefon semalam.

Menurut laporan Agensi Berita Saudi, Trump dalam perbualan telefon itu, memuji kesediaan kerajaan Arab Saudi kerana membuka ruang udaranya bagi membenarkan penerbangan sulung Israel-Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Arab Saudi sebelum ini menegaskan, ia tidak akan mengikut langkah UAE, yang bulan lalu mengumumkan akan mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel, malah tidak mengiktiraf kewujudan negara Yahudi itu.

UAE adalah negara dunia Arab ketiga menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir dan Jordan sebelum ini.

Sebaliknya, Arab Saudi tetap berpegang kepada pendirian asal menuntut negara Yahudi itu menandatangani perjanjian damai yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa dengan rakyat Palestin.

Dalam perbualan telefon dengan Trump semalam, Raja Salman menegaskan 'keinginan kerajaan bagi mencapai penyelesaian yang berkekalan dan adil terhadap perjuangan Palestin untuk membawa perdamaian'.

Minggu lalu, Arab Saudi bersetuju membenarkan penerbangan UAE ke 'semua negara' melintasi ruang udara negara itu, yang secara tidak langsung membabitkan penerbangan sulung Israel-UAE.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula mengumumkan pelancaran penerbangan terus secara berkala yang menghubungkan UAE dengan negara regim Zionis itu.

Penerbangan komersial terus pertama dari Tel Aviv ke Abu Dhabi melintasi ruang udara Arab Saudi itu disifatkan sebagai tanda jalinan hubungan Israel-UAE di bawah perjanjian disokong AS, yang dikenali sebagai Abraham Accords.

Sementara itu, di Washington, Rumah Putih mengeluarkan kenyataan berhubung perbualan antara Raja Salman dan Trump, sambil menyifatkan penerbangan pertama itu sebagai sesuatu yang bersejarah.

"Presiden Trump... mengalu-alukan pembukaan ruang udara Arab Saudi kepada penerbangan Israel-UAE, bermula dengan penerbangan komersial bersejarah pada minggu lalu dari Tel Aviv ke Abu Dhabi.

"Presiden Trump menggariskan kepentingan Abraham Accords dan membincangkan cara untuk meningkatkan keselamatan dan kemakmuran rantau Arab," katanya.

Tindakan membenarkan penerbangan antara Israel dan UAE melintasi ruang udara Arab Saudi menjimatkan masa perjalanan yang panjang sebelum ini kerana terpaksa mengelilingi semenanjung Arab. - AFP

Berita Harian X