Khamis, 3 September 2020 | 12:27pm
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga. - Foto AFP
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga. - Foto AFP

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun sertai 'perlumbaan' merebut jawatan PM

TOKYO: Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga, semalam mengumumkan beliau akan mencalonkan diri sebagai pemimpin parti kerajaan, Parti Liberal Demokratik (LDP), sekali gus ingin terbabit dalam 'perlumbaan' untuk jawatan Perdana Menteri baharu.

Suga yang juga bekas pembantu, Shinzo Abe yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri minggu lalu, berkata keputusan 'merebut' jawatan itu dibuat bagi menangani kekosongan politik ketika berlakunya pandemik COVID-19.

Sekiranya Suga menang, beliau dijangka akan meneruskan dasar berhubung rangsangan kewangan dan fiskal yang dilaksanakan Abe sebelum ini.

"Saya berfikir secara mendalam sebagai ahli politik dan sebagai individu yang menyokong pentadbiran Abe berhubung apa yang saya patut lakukan.

"Hasilnya, saya membuat keputusan untuk berdiri sebagai calon kepimpinan LDP," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, dalam keadaan negara berdepan krisis pandemik, kekosongan jawatan politik tidak boleh dibiarkan berlaku terlalu lama.

Abe mengumumkan peletakan jawatannya minggu lalu ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

LDP yang mempunyai suara majoriti di Dewan Rakyat akan memastikan pemimpin dari parti itu diangkat sebagai Perdana Menteri.

Suga dilihat secara efektif adalah muka kerajaan selama bertahun-tahun kerana tugasnya sebagai jurucakap ketua pemimpin.

Beliau juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Abe lebih sedekad lalu, dan adalah suara penyokong yang mendorong bekas Perdana Menteri itu untuk meneruskan tugasnya selepas penggal pertama berakhir pada 2007.

Pesaing utama Suga dalam hari pemilihan kepimpinan parti yang berlangsung 14 September ini ialah bekas Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba dan bekas Menteri Luar, Fumio Kishida.

Daripada tiga calon yang bertanding itu, kedudukan Suga dilihat kuat, sekali gus mempunyai kelebihan untuk menang dalam pemilihan itu. - AGENSI

Berita Harian X