Selasa, 25 Ogos 2020 | 1:42pm
Qantas akan berhentikan 2,500 pekerja selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. - Foto AFP
Qantas akan berhentikan 2,500 pekerja selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. - Foto AFP

Qantas buang 2,500 pekerja

SYDNEY: Syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways Ltd mengumumkan pelan rancangan untuk menghentikan lebih 2,500 pekerjanya, beberapa hari selepas mencatat kerugian tahunan yang besar disebabkan oleh permintaan merudum akibat pandemik COVID-19.

Qantas dan syarikat penerbangan tambang murahnya, Jetstar, berkata, mereka akan melakukan program 'outsourcing' perkhidmatan operasi pengendalian darat mereka di semua lapangan terbang domestik, sementara menunggu kajian terakhir mengenai perkara itu.

Sebelum ini, syarikat itu sudah mengambil tindakan melakukan pengurangan kos berjumlah AS$10 bilion (RM41.70 bilion) bagi menangani 'tempoh paling mencabar' dalam sejarah 99 tahun syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Qantas (Domestik), Andrew David, berkata pelan rancangan itu akan menjimatkan AS$72 juta (RM300 juta) setahun.

"Sekarang ini, kapasiti domestik kita berada pada 20 peratus daripada tahap pra-COVID-19 dan perjalanan antarabangsa dijangka mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih.

"Kita tahu sekatan perjalanan akhirnya akan hilang, tetapi pasaran akan sangat berbeza," katanya.

David berkata, lebih 200 pesawat Qantas tidak beroperasi dan perolehan pendapatan syarikat itu merudum 82 peratus antara April hingga Jun lalu akibat penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Pesaing utama Qantas, Virgin Australia pula melaksanakan pentadbiran sukarela bermula April lalu, sejurus kerajaan Australia menutup sempadan antarabangsa seterusnya menjejaskan pelancongan domestik negara itu.

Virgin juga sudah menutup anak syarikat tambang murah miliknya, Tigerair Australia dan terpaksa memberhentikan 3,000 kakitangan walaupun akan dilancarkan semula di bawah pemilikan baharu gergasi ekuiti swasta AS, Bain Capital.

Sebahagian dari Australia, yang mencatatkan kira-kira 25,000 kes COVID-19 dan 525 kematian hingga kini, masih mengadakan sekatan perjalanan rentas negeri bagi memutuskan rantaian jangkitan virus itu.

Pegawai kerajaan juga memaklumkan bahawa negara itu tidak akan membuka semula sempadan antarabangsanya kepada pelancong luar sehingga vaksin COVID-19 dijumpai. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X