Isnin, 24 Ogos 2020 | 2:14pm

Iran dakwa kemudahan nuklear kena sabotaj

TEHRAN: Pertubuhan Tenaga Atomil Iran (IAEO) pada Ahad, mendakwa letupan yang memusnahkan kemudahan nuklear Natanz bulan lalu, disebabkan perbuatan sabotaj.

"Siasatan keselamatan mengesahkan terdapat perbuatan sabotaj dan yang pasti ialah letupan berlaku di Natanz", kata jurucakap, Behrouz Kamalvandi.

"Tetapi bagaimana letupan boleh berlaku dan lain-lain akan diumumkan oleh pegawai keselamatan pada masa yang sesuai," katanya seperti dipetik agensi berita tempatan, IRNA.

Iran berkata selepas insiden yang berlaku pada 2 Julai lalu, negara itu sudah menentukan punca tetapi enggan menyiarkan butiran dengan alasan kebimbangan keselamatan.

Gabenor Natanz, Ramezan-Ali Ferdowsi, berkata kebakaran tercetus di luar kawasan tapak tetapi agensi atom negara itu mengatakan bahawa ia tidak mengakibatkan korban jiwa atau pencemaran radioaktif.

Pada masa sama, IRNA menerbitkan editorial yang bertujuan memberi peringatan kepada musuh-musuh Iran dengan mengatakan Israel dalang letupan, berdasarkan tulisan dalam akaun media sosial rakyat Israel yang tidak disebutkan namanya.

Kejadian itu berlaku enam hari selepas letupan berhampiran kompleks tentera yang menggegarkan Tehran.

Letupan di daerah Parchin yang terletak di tenggara ibu negara Iran itu berpunca tangki gas bocor, demikian menurut Kementerian Pertahanan.

Negara republik Islam itu meneruskan pengayaan uranium di kompleks Natanz, terletak di tengah Iran pada September tahun lalu.

Langkah itu dilakukan setelah Amerika Syarikat (AS) secara sepihak menarik diri pada 2018 dari perjanjian antarabangsa yang memberi Iran pelepasan sekatan, sebagai pertukaran untuk mengekang program nuklearnya.

Tehran menafikan program nuklearnya mempunyai kaitan dengan aktiviti ketenteraan. - AFP

Berita Harian X