Sabtu, 8 Ogos 2020 | 5:54pm
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam memberi taklimat kepada media mengenai undang-undang keselamatan baharu Hong Kong. Foto AFP
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam memberi taklimat kepada media mengenai undang-undang keselamatan baharu Hong Kong. Foto AFP

China akan putuskan mengenai Majlis Perundangan Hong Kong

BEIJING: Penggubal undang-undang China bertemu hari ini untuk memutuskan bagaimana menangani kekosongan perundangan akibat penangguhan pilihan raya Hong Kong.

Pemilihan Majlis Perundangan yang dijadualkan pada 6 September ini ditunda selama setahun berikutan pandemik COVID-19.

Badan pembuat keputusan tertinggi parlimen China mengadakan sesi perbincangan selama empat hari untuk membincangkan sama ada akan memanjangkan tempoh badan perundangan Hong Kong semasa yang akan berakhir pada 30 September ini, atau untuk melantik badan peralihan baharu untuk memerintah wilayah separa autonomi itu.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, berkata ia akan menjadi pragmatik untuk memanjangkan jangka masa perundangan sekarang, namun timbul isu lain iaitu sama ada ia turut memanjangkan tempoh empat penggubal undang-undang lain yang dilarang dalam pemilihan semula.

Pegawai pilihan raya menggugurkan kelayakan keempat-empat anggota perundangan pro-demokrasi dengan mengatakan agar kerajaan asing untuk melaksanakan sekatan ke atas Beijing dan Hong Kong yang melanggar undang-undang keselamatan nasional yang baharu.

"Sesiapa yang menganjurkan kemerdekaan Hong Kong dengan cara tidak sah seperti rusuhan, kita tidak boleh membiarkan mereka berkhidmat untuk satu penggal lagi," kata anggota parlimen pro-Beijing, Junius Ho.

Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Nasional China dijangka menentukan nasib penggubal undang-undang berkenaan.

Pengkritik berkata, undang-undang keselamatan nasional baharu yang dilaksanakan oleh Beijing mengikis kebebasan politik di pusat kewangan Asia itu.

Amerika Syarikat semalam mengenakan sekatan ke atas sekumpulan pegawai China dan Hong Kong termasuk Lam, yang terbabit dalam menegakkan undang-undang berkenaan. - AFP

Berita Harian X