Jumaat, 31 Julai 2020 | 2:46pm
Kakitangan perubatan mengambil butiran individu menjalani ujian COVID-19 di Mumbai yang menyaksikan peningkatan ketara kes jangkitan. - Foto AFP
Kakitangan perubatan mengambil butiran individu menjalani ujian COVID-19 di Mumbai yang menyaksikan peningkatan ketara kes jangkitan. - Foto AFP

Angka kematian COVID-19 India mengatasi Itali

NEW DELHI: Angka kematian COVID-19 di India melepasi 35,000 kes, sekali gus mengatasi Itali, ketika negara itu turut dilanda banjir yang menjejaskan jutaan penduduk termasuk 350 mangsa terkorban susulan bencana alam itu.

Dalam tempoh 24 jam, 779 kematian baharu dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban meningkat kepada 35,747 orang.

Mengikut statistik AFP, India berada di tangga kelima selepas Amerika Syarikat (AS), Brazil, Britain dan Mexico yang turut mencatatkan kes kematian tertinggi.

Bagaimanapun, kebanyakan pakar meragui angka kes COVID-19 negara itu berikutan pihak berkuasanya tidak menjalankan ujian saringan ke atas lebih ramai penduduk, selain kes kematian disebabkan virus itu tidak direkodkan secara tersusun.

Satu kajian yang dibuat pada minggu ini bagi menguji antibodi coronavirus melaporkan 57 peratus penduduk mempunyai jumlah jangkitan jauh lebih tinggi daripada rekod rasmi yang dikeluarkan.

Minggu lalu, kajian seumpamanya menunjukkan hampir suku daripada penduduk di bandaraya New Delhi dijangkiti COVID-19 dengan angka sebenar 40 kali ganda lebih tinggi berbanding data rasmi.

Dalam pada itu, banjir akibat monsun tahunan di bahagian timur dan timur laut India turut menghalang usaha menghentikan penyebaran virus berkenaan.

Di negeri termiskin di India, Bihar yang mempunyai 125 juta penduduk dan turut melaksanakan sekatan pergerakan, kira-kira 11 orang dilaporkan terkorban akibat banjir, manakala 25,000 penduduk lagi ditempatkan di kem perlindungan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X