Khamis, 16 Julai 2020 | 9:46pm
Hampir 1.4 juta penduduk Asia Selatan terjejas akibat banjir ekoran hujan monsun lebat. Foto AFP
Hampir 1.4 juta penduduk Asia Selatan terjejas akibat banjir ekoran hujan monsun lebat. Foto AFP

Hujan lebat sebabkan banjir teruk di Asia Selatan

GUWAHATI, INDIA: Hujan lebat yang melanda Asia Selatan mengorbankan lebih 100 nyawa dalam beberapa hari kebelakangan ini dan membanjiri hampir keseluruhan Taman Negara secara besar-besaran, kata pegawai.

Beratus mangsa menjadi korban banjir dan tanah runtuh antara Julai dan September ketika musim tengkujuh melanda wilayah yang padat penduduk itu.

Amaran awal sudah dikeluarkan oleh pegawai yang mengatakan banjir kali ini akan menjadi antara terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, melanda Bangladesh, India dan Nepal.

Di negeri Assam, India, penduduk dan haiwan sama-sama terjejas dengan kira-kira 90 peratus daripada Taman Negara Kaziranga seluas 430 kilometer persegi berada di bawah paras air, menenggelamkan beberapa badak dan babi hutan.

"Banjir kali ini adalah terburuk di negeri ini dan di kawasan pertanian sejak kebelakangan ini," kata Menteri Hutan Assam, Parimal Suklabaidya kepada AFP.

Pegawai perhilitan berusaha menyelamatkan dua daripada tiga ekor harimau yang terperangkap dalam banjir itu, katanya.

Kawasan kediaman yang menempatkan kira-kira 3.5 juta penduduk di Assam itu dinaiki banjir atau rosak akibat hujan lebat, merekodkan 28 kematian dalam tempoh 10 hari lalu.

Di Bangladesh, pihak berkuasa berkata, banjir semakin pulih, namun hampir satu pertiga kawasan rendah di negara itu masih ditenggelami air.

Sekurang-kurangnya enam orang menjadi korban dengan 1.8 juta penduduk penduduk dilanda hujan lebat dan limpahan paras sungai, kata Kementerian Pengurusan Bencana Bangladesh.

Brahmaputra, sistem pengairan sungai yang merentasi sempadan Himalaya menyaksikan tembok atau tebingnya runtuh, mengakibatkan banjir berhampiran sempadan dan beberapa perkampungan.

Di Nepal, seramai 67 orang terbunuh dan 45 lagi masih hilang selepas tragedi tanah runtuh dan banjir akibat hujan sejak Sabtu minggu lalu yang mana tentera dan polis masih tetap menjalankan misi menyelamatkan mangsa. - AFP

Berita Harian X