Selasa, 7 Julai 2020 | 9:57am
Seorang petugas berjalan melintasi katil diperbuat daripada kadbod di dalam sebuah dewan yang dijadikan antara pusat penempatan pesakit COVID-19 di New Delhi. - FOTO AFP
Seorang petugas berjalan melintasi katil diperbuat daripada kadbod di dalam sebuah dewan yang dijadikan antara pusat penempatan pesakit COVID-19 di New Delhi. - FOTO AFP

COVID-19: India catat jumlah kes ketiga tertinggi di dunia

NEW DELHI: India semalam muncul negara mencatatkan jumlah kes COVID-19 yang ketiga tertinggi di dunia.

Kerajaan India beransur-ansur menarik balik pelaksanaan sekatan akibat pandemik itu, bagi memulihkan ekonomi yang terjejas teruk.

Bagaimanapun, jangkitan di negara ini terus meningkat dengan 24,000 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang menjadikan jumlahnya mencecah hampir 700,000, semalam, iaitu lebih sedikit berbanding Russia.

Bandar utama adalah yang paling terkesan di India, termasuk New Delhi dan Mumbai, manakala pengkritik mendakwa pelaksanaan ujian saringan tidak mencukupi - bermakna banyak jangkitan COVID-19 berkemungkinan terlepas daripada diagnosis.

Lonjakan kes menyebabkan pihak berkuasa di India terpaksa menggunakan hotel, dewan perkahwinan, sebuah pusat kerohanian dan gerabak kereta api untuk menampung penempatan pesakit wabak itu.

Jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia sudah melepasi 11.5 juta dengan lebih 535,000 kematian sejak wabak itu tercetus di China pada akhir tahun lalu.

Di Amerika Syarikat (AS) yang juga negara paling terkesan di dunia dengan pandemik itu, pihak berkuasa memberi amaran bahawa sebilangan hospital sedang bergelut menangani ancaman kes jangkitan yang terus melonjak.

Jumlah kematian di AS kini melepasi 130,000 mangsa daripada kira-kira 2.9 juta jangkitan disahkan, malah banyak negeri merekodkan peningkatan kes selepas perintah berkurung dilonggarkan.

Di Australia pula, walaupun sebahagian besar keadaan wabak telah berjaya dikawal, penularan baharu di Melbourne menyebabkan pihak berkuasa menutup negeri Victoria. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X