Isnin, 6 Julai 2020 | 3:37pm
Kompleks nuklear Natanz di Iran yang terbakar minggu lalu. - Foto Google
Kompleks nuklear Natanz di Iran yang terbakar minggu lalu. - Foto Google

Nahas kompleks nuklear Iran cetus kerugian besar

TEHRAN: Nahas di kompleks nuklear Iran mencetuskan kerosakan besar dan boleh memperlahankan pengeluaran bahan khas untuk menghasilkan uranium, kata jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran.

Kejadian Khamis lalu di sebuah gudang yang sedang dalam pembinaan di kompleks Natanz di tengah Iran, namun tidak mencetuskan sebarang kemalangan jiwa atau pencemaran radioaktif.

Pegawai keselamatan menyifatkan kejadian terbabit sebagai satu nahas dan sedang menyiasat punca kejadian.

"Tiada mangsa dilaporkan terbabit, namun kerosakan itu mendatangkan kerugian yang besar mengenai aspek kewangan.

"Nahas ini boleh melambatkan pengeluaran dan penghasilan produk untuk membuat uranium," kata jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Behrouz Kamalvandi dalam satu temuramah diterbitkan semalam oleh agensi berita rasmi IRNA.

Natanz ialah antara loji utama penghasilan uranium di Iran.

Beliau berkata, nahas berkenaan membuka peluang untuk kerajaan memperbaiki loji terbabit supaya mampu menghasilkan kapasiti lebih besar.

Pertubuhan itu terdahulu menyiarkan foto yang dirakam di lokasi kejadian, memaparkan kerosakan pada bahagian bumbung, kesan kebakaran pada dinding dan serpihan pintu akibat letupan dari dalam.

Saluran televisyen rasmi pula memaparkan kerosakan bangunan dari sudut berbeza. - AFP

Berita Harian X