Khamis, 2 Julai 2020 | 11:13am
Penunjuk perasaan berkumpul dan melaungkan slogan membantah undang-undang keselamatan baharu. - Foto AFP
Penunjuk perasaan berkumpul dan melaungkan slogan membantah undang-undang keselamatan baharu. - Foto AFP

Polis Hong Kong tahan 7 individu terbabit perhimpunan haram

HONG KONG: Polis menahan sekurang-kurangnya tujuh individu di bawah undang-undang keselamatan baharu semalam, sejurus selepas ia dikuatkuasa pada hari ulang tahun Britain menyerahkan kepulauan itu kepada China.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata, penyembur lada dan meriam air bagi menyuraikan ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Teluk Causeway, lokasi tradisional untuk sebarang protes besar-besaran dan Wan Chai.

Pihak berkuasa turut menutup kawasan berkenaan, termasuk jalan utama bagi mengawal aliran trafik.

Menurut pihak berkuasa, lebih 180 orang ditahan kerana menghadiri perhimpunan haram, melanggar peraturan keselamatan, menghalang tugas polis dan memiliki senjata.

Jabatan polis Hong Kong, menerusi ciapan di Twitter, berkata seorang pegawai polis ditikam di lengan oleh perusuh yang berjaya melarikan diri.

Perusuh dikatakan menghalang dan menguasai beberapa lorong jalan di Teluk Causeway dan Wan Chai, menyebabkan pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan masing-masing.

Segelintir peserta pula menurunkan kain rentang yang digantung di sepanjang jalan, sebelum bertindak melemparkan objek berkenaan ke tengah jalan.

Beberapa perusuh lain dilihat mengganggu aliran trafik menggunakan tong sampah, serta membakar penghadang jalan di sekitar lokasi, sekali gus membahayakan keselamatan orang ramai. - AGENSI

Berita Harian X