Rabu, 27 Mei 2020 | 7:15pm
Polis mengawal stesen MTR berhampiran Majlis Perundangan Hong Kong menjelang perdebatan undang-undang larangan menghina lagu kebangsaan China. Foto AFP
Polis mengawal stesen MTR berhampiran Majlis Perundangan Hong Kong menjelang perdebatan undang-undang larangan menghina lagu kebangsaan China. Foto AFP

Polis halang protes undang-undang lagu kebangsaan

HONG KONG: Polis Hong Kong mengawal ketat bangunan pusat kewangan hari ini dan melepaskan tembakan ke arah kumpulan protes yang membantah rang undang-undang yang melarang penghinaan terhadap lagu kebangsaan China di bandar raya komersil itu.

Pergolakan terbaru berlaku selepas beberapa hari China mengumumkan rancangan berasingannya melaksanakan undang-undang keselamatan negara di Hong Kong berikutan demonstrasi pro-demokrasi besar-besaran dan tindak balas ganas sejak tahun lalu.

Langkah itu mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran bahawa Hong Kong mungkin kehilangan statusnya sebagai pusat kewangan global jika kebebasan dan kebebasan kehakiman kota itu disingkirkan.

Protes itu susulan perdebatan antara penggubal undang-undang terhadap mereka yang menghina lagu kebangsaan boleh dipenjara hingga tiga tahun, namun aktivis mengatakannya ia menyekat kebebasan di bandaraya itu.

Polis mengepung bangunan perundangan dengan meletakkan rintangan berisi air dan menyemburkan gas pemedih mata untuk menyuraikan beratus penunjuk perasaan.

"Keadaan sekarang seperti perintah berkurung ketat 'de facto' tetapi kerajaan sepatutnya memahami mengapa rakyat benar-benar marah," kata penyokong pro-demokrasi, Nathan Law.

Perhimpunan membabitkan lebih daripada lapan orang di tempat awam di Hong Kong adalah dilarang di bawah peraturan darurat kecemasan mengekang wabak COVID-19, meskipun bandaraya itu bebas daripada penularan virus.

Di bawah model 'satu negara, dua sistem' yang dipersetujui sebelum bandaraya itu dikembalikan Britain kepada China, Hong Kong wajar diberi jaminan kebebasan tertentu hingga tahun 2047, namun ia dinafikan tanah besar China.

Kesepakatan itu mendorong kenaikan bandar raya Hong Kong sebagai pusat kewangan kelas dunia dan memberi keutamaan kepada syarikat China untuk menjana modal.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rusuhan politik melanda kota itu, menandakan pengakhiran era pemerintah komunis Beijing. - AFP

Berita Harian X