Jumaat, 22 Mei 2020 | 8:24pm

COVID-19: Kes berkaitan kelab hiburan Itaewon terus meningkat

SEOUL: Korea Selatan menyaksikan jangkitan COVID-19 yang dikaitkan dengan lokasi hiburan malam terus meningkat, dengan satu tempat pesta di luar bandar Seoul muncul sebagai satu lagi lokasi penularan, lapor Agensi Berita Yonhap (Yonhap).

Menurut pihak berkuasa kesihatan, setakat tengahari, kes yang dikesan di kelab malam dan bar di kejiranan Itaewon di Seoul berjumlah 215, menokok lapan lagi kes dalam tempoh 12 jam.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea melaporkan 20 kes baharu di seluruh negara dari hari sebelumnya, dengan 11 daripadanya berasal dari penularan dalam komuniti.

Sebilangan besar jangkitan tempatan tertumpu di Seoul dan sekitarnya, dengan enam dilaporkan di Wilayah Gyeonggi, di sekitar ibu kota.

Beberapa kes terbaru berkaitan kelab dikesan ke restoran bufet di Bucheon, Wilayah Gyeonggi, di luar bandaraya Seoul.

Orang ramai yang menghadiri pesta ulang tahun untuk seorang kanak-kanak berusia setahun diuji positif, dengan seorang jurugambar yang mengambil gambar semasa acara itu disyaki menyebarkan virus berjangkit itu.

Jurugambar itu yang juga adalah seorang pemandu teksi, dipercayai dijangkiti di sebuah kemudahan karaoke yang dioperasikan dengan duit syiling di Incheon, sebuah bandar pelabuhan di sebelah barat Seoul, di mana pesakit yang dijangkiti oleh seorang yang berkunjung ke kelab Itaewon.

Pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai yang mengunjungi restoran pada 9, 10 dan 17 Mei untuk diuji terhadap virus terbabit.

Jumlah kes yang membabitkan pengunjung kelab Itaewon nampaknya semakin perlahan, tetapi rantaian penularan di kemudahan karaoke, bar dan kafe internet terus meningkat, membuatkan pihak kesihatan dalam keadaan berwaspada.

"Kita telah menyaksikan kes-kes di mana mereka dijangkiti di sekolah yang sesak, kemudahan karaoke dan bar menyebarkan (virus) kepada keluarga dan kenalan mereka," kata Wakil Menteri Kesihatan, Kim Ganglip dalam taklimat media. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X