Khamis, 21 Mei 2020 | 6:30pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Transplan sel hati menggunakan sel induk embrio

TOKYO: Sekumpulan doktor di Jepun berjaya menjalankan proses transplan sel hati yang berasal dari sel induk embrio kepada seorang bayi yang mengalami gangguan kitaran urea iaitu keadaan di mana organ hatinya tidak mampu memecahkan ammonia toksik.

Rawatan pemindahan itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia untuk golongan bayi.

Bagaimanapun, bayi berusia enam hari itu terlalu kecil untuk menjalani pemindahan hati, justeru ia hanya boleh dijalankan ketika kanak-kanak itu mencapai berat sekitar 13 kilogram atau ketika menginjak usia tiga hingga lima bulan.

Sekumpulan doktor di Pusat Kesihatan dan Pembangunan Kanak-Kanak mengambil keputusan untuk melakukan rawatan pintasan sehingga bayi itu cukup besar dengan suntikan sebanyak 190 juta sel hati yang berasal dari sel induk embrio.

Bayi yang tidak didedahkan jantinanya itu menerima hati daripada ayahnya dan dibenarkan discaj dari hospital enam bulan selepas kelahirannya.

Di Eropah dan Amerika Syarikat, sel hati didapati melalui penderma yang mengalami penyakit 'mati otak', bagaimanapun di Jepun ia agak terhad. Ini sekali gus menimbulkan kesukaran dalam menguruskan kesihatan anak kecil kerana mereka perlu menunggu sehingga tahap usia dibenarkan bagi menjalani prosedur pemindahan hati.

Institusi berkenaan adalah salah sebuah organisasi di Jepun yang membenarkan penghasilan sel ES untuk dikaji bagi tujuan rawatan perubatan. Kaedah rawatan ini menggunakan telur yang disenyawakan selepas mendapat keizinan kedua-dua pendermanya yang melalui rawatan kesuburan. - AFP

Berita Harian X