Rabu, 20 Mei 2020 | 2:33pm

COVID-19: Penerbangan pertama UAE ke Israel bawa bantuan untuk rakyat Palestin

ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) melakukan penerbangan pertama yang diumumkan secara terbuka ke Israel semalam ketika Etihad Airways menghantar bekalan perubatan untuk membantu rakyat Palestin mengatasi pandemik COVID-19.

Kecuali Jordan dan Mesir, negara-negara Arab tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel, tetapi negara-negara Arab Teluk seperti UAE dan negara Yahudi itu telah menjalin hubungan baru-baru ini di tengah-tengah kebimbangan bersama terhadap Iran.

"Etihad Airways mengendalikan penerbangan kargo kemanusiaan khusus dari Abu Dhabi ke Tel Aviv pada 19 Mei untuk menyediakan bekalan perubatan kepada rakyat Palestin," kata seorang jurucakap Etihad.

"Penerbangan itu tidak ada penumpang di dalamnya."

Agensi berita rasmi UAE, WAM berkata penerbangan itu membabitkan penghantaran 14 tan bekalan perubatan segera yang 'akan menyokong usaha membendung penyebaran pandemik COVID-19 dan kesannya di wilayah Palestin yang dijajah'.

WAM menambah: "Bantuan itu termasuk peralatan pelindung diri (PPE), dan peralatan perubatan. Paling penting, ia termasuk 10 ventilator yang sangat diperlukan."

Israel mengawal akses ke wilayah Palestin.

Penghantaran oleh Etihad itu digambarkan sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan yang lebih meluas.

"Etihad Airways sentiasa mengendalikan banyak penerbangan kemanusiaan yang memberikan bantuan yang sangat diperlukan kepada negara-negara dalam rangkaiannya dan lebih meluas lagi."

Negara Arab terbabit menyeru penyelesaian konflik Palestin-Israel sebagai syarat untuk menormalkan hubungan dengan negara Yahudi itu.

Liga Arab sering mengecam pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki serta dasar Israel terhadap Semenanjung Gaza.

Namun, negara-negara Arab Teluk telah menunjukkan tanda-tanda hubungan dengan Israel.

Sebagai contoh, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengunjungi Oman pada tahun 2018.

Tindakan lain membabitkan atlet dan pegawai Israel semakin dibenarkan untuk mengunjungi negara-negara Teluk. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X