Jumaat, 8 Mei 2020 | 10:20pm
Pekerja menyembur pembasmi kuman di Kem Wavel yang juga dikenali sebagai Kem Jalil yang menempatkan pelarian Palestin di lembah Bekaa, timur Lubnan di mana kes pertama COVID-19 disahkan. UNRWA kini memohon dana bagi membantu mereka yang terjejas teruk akibat virus itu. - Foto AFP
Pekerja menyembur pembasmi kuman di Kem Wavel yang juga dikenali sebagai Kem Jalil yang menempatkan pelarian Palestin di lembah Bekaa, timur Lubnan di mana kes pertama COVID-19 disahkan. UNRWA kini memohon dana bagi membantu mereka yang terjejas teruk akibat virus itu. - Foto AFP

Agensi PBB bagi Palestin lancar rayuan COVID-19

RAMALLAH: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) melancarkan rayuan kecemasan COVID-19 hari ini bagi membantu rakyat Palestin di Timur Tengah yang mengalami kesan sosio ekonomi yang dahsyat.

Menurut Ketua UNRWA di wilayah Palestin, Matthias Schmale, agensi itu mahu mengumpulkan AS$93.4 juta (RM404 juta) untuk tempoh tiga bulan bagi menyediakan makanan dan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas.

"Walaupun jumlah pelarian Palestin yang dijangkiti COVID-19 setakat ini masih rendah, kebanyakan daripada mereka bekerja di sektor tidak rasmi dan berdepan kesan ekonomi yang teruk akibat krisis ini.

"Di Semenanjung Gaza, di mana majoriti dua juta penduduknya adalah pelarian, pengangguran mungkin meningkat daripada 50 hingga 70 peratus akibat krisis ini," katanya.

UNRWA memberikan sokongan kepada jutaan pelarian Palestin di Asia Barat terutama di Jordan, Lubnan, Syria, Tebing Barat dan Gaza.

Ia termasuk bantuan persekolahan dan perkhidmatan perubatan, di mana pertubuhan itu beroperasi tanpa mengikut undang-undang di kem pelarian.

Menurut pegawai UNRWA, tanpa dana, sekolah bagi jutaan kanak-kanak mungkin tidak dapat dibuka semula.

Amerika Syarikat (AS), yang lazimnya adalah penderma individu terbesar sehingga AS$300 juta (RM1.3 bilion) setahun, menghentikan semua bantuan kepada pertubuhan itu pada 2018, selepas hubungan dengan kerajaan Palestin terjejas.

UNRWA, yang tiada kaitan dengan kerajaan Palestin, mendakwa Trump mempolitikkan bantuan kemanusiaan yang disediakannya.

Pengarah UNRWA Washington, Elizabeth Campbell, berkata agensi itu akan melancarkan rayuan walaupun berdepan 'krisis kewangan terbesar dalam sejarah'.

Pada Mac lalu, 59 Ahli Kongres AS menulis kepada pentadbiran Trump, menggesa beliau mengembalikan dana itu ketika dunia berdepan pandemik COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X