Sabtu, 2 Mei 2020 | 1:54pm

COVID-19: Jumlah kematian, jangkitan melonjak di negara Arab

ISTANBUL: Jumlah kematian dan jangkitan COVID-19 terus melonjak di beberapa negara Arab, semalam, lapor agensi berita Anadolu.

Di Iraq, seorang meninggal dunia yang menjadikan angka korban meningkat kepada 94 mangsa, menurut pegawai kesihatan.

Jumlah jangkitan pula meningkat sebanyak 68 kes, menjadikan keseluruhannya mencecah 2,153 dengan 1,414 pesakit pulih.

Bahrain pula mencatatkan jumlah 3,169 kes selepas 129 lagi disahkan positif, dengan lapan orang maut dan 1,533 pesakit sembuh.

Kementerian Kesihatan Mesir mengesahkan 14 kematian, menjadikan jumlah korban mencecah 406 orang, setakat ini. Bilangan kes pula berjumlah 5,895 dengan pertambahan 358.

Di Algeria, kes jangkitan melonjak kepada 4,156 dengan pertambahan 148 lagi pesakit. Tujuh orang meninggal dunia, menjadikan jumlah 453 korban, manakala 1,821 pesakit pulih.

Pegawai kesihatan Maghribi melaporkan satu lagi kematian, membawa kepada jumlah 171 korban, sementara jangkitan bertambah sebanyak 146 menjadi 4,569 kes.

Setakat ini, wabak COVID-19 menjejaskan 187 negara dan wilayah di seluruh dunia sejak tercetus di Wuhan, China, pada Disember tahun lalu.

Lebih 3.3 juta kes dilaporkan dengan hampir 238,000 orang maut dan lebih sejuta pesakit sembuh di seluruh dunia, menurut data Universiti Johns Hopkins. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X