Rabu, 29 April 2020 | 9:07pm
Ahli virologi, T Jacob John.
Ahli virologi, T Jacob John.

COVID-19: Jumlah kematian di India rendah, pakar bingung

NEW DELHI: Angka kematian COVID-19 yang disahkan India melepasi 1,000 hari ini berikutan kenaikan harian tertinggi, tetapi jumlahnya tetap rendah berbanding dengan Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dalam fenomena yang membingungkan pakar.

Dengan kawasan setinggan yang sangat besar dan sistem kesihatan yang goyah, terdapat kebimbangan India akan dilanda wabak yang telah membunuh lebih 214,000 orang di seluruh dunia itu.

Jumlah korban terbaru sebanyak 73 adalah kematian harian tertinggi di India, memberi amaran bahawa negara Asia Selatan yang sangat besar itu belum jelas lagi keadaannya.

Kekurangan ujian dan banyak faktor lain menunjukkan bahawa angka kematian rasmi India sebanyak 1,007 mungkin jauh di bawah jumlah sebenar mangsa COVID-19.

"Kami menyaksikan bilangan yang rendah tetapi kami tidak tahu bagaimana hendak mengesahkan angka atau kadar itu," kata ahli virologi T. Jacob John kepada AFP.

"Pemerintah inginkan pelaporan yang kurang dan ... kami "buta" dengan kadar dan angka yang sebenarnya."

India setakat ini nampaknya terhindar dari kehancuran seperti yang dilihat di New York, Milan dan bahagian-bahagian lain di seluruh dunia yang teruk terjejas dilanda pandemik itu, di mana hospital telah dipenuhi dengan kes COVID-19.

Pakar telah mengemukakan sejumlah teori dan faktor, tetapi belum ada penjelasan yang pasti.

"Mungkin benar bahawa trajektori wabak di India sangat berbeza dengan alasan yang tidak kita fahami ... tetapi buat masa ini semua itu teori," kata Prabhat Jha, ahli epidemiologi di University of Toronto, kepada AFP.

Salah satu faktor yang berkemungkinan ialah India melaksanakan perintah berkurung terhadap 1.3 bilion rakyatnya pada 25 Mac, ketika terdapat 606 kes yang disahkan dan 10 kematian, dan ia telah dilaksanakan dengan ketat.

Kerajaan mengatakan jumlah jangkitan boleh mencapai 100,000 jika ia tidak melaksanakan langkah itu.

Terdapat juga isu lain yang juga mungkin mengekalkan risiko rendah - termasuk populasi muda dan kemungkinan kesan positif vaksin tuberkulosis BCG, kata John.

Faktor lain ialah demam denggi yang meluas selama puluhan tahun yang memberi masyarakat "kekebalan bawaan", katanya.

Namun, pakar mengingatkan bahawa tidak ada orang yang memiliki gambaran yang tepat mengenai wabak itu di desa-desa terpencil dan di kawasan setinggan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X