Rabu, 29 April 2020 | 1:33pm
Gambar file menunjukkan persidangan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Ke-13 di Beijing pada 17 Mac 2018. - Foto AFP
Gambar file menunjukkan persidangan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Ke-13 di Beijing pada 17 Mac 2018. - Foto AFP

Beijing umum persidangan tahunan NPC bulan hadapan

BEIJING: Pemimpin atasan China akan mengadakan persidangan tahunan mereka bulan depan selepas menangguhkan sesi berkenaan buat pertama kali, berikutan pandemik COVID-19, lapor agensi berita rasmi Xinhua hari ini.

Kepimpinan Parti Komunis pada Februari lalu, mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan acara tahunan Kongres Rakyat Nasional (NPC) buat kali pertama sejak Revolusi Kebudayaan, berikutan ancaman COVID-19 ke atas negara itu, yang kemudian menular menjadi pandemik global.

Penjadualan semula sesi persidangan NPC pada 22 Mei ini dilihat sebagai simbol keyakinan pemerintah terhadap kejayaan China mengawal keseluruhan pandemik terbabit.

Pemimpin atasan Parti Komunis termasuk Presiden Xi Jinping saban tahun bersama delegasi lain seluruh negara, untuk meluluskan rang undang-undang, belanjawan dan langkah diputuskan parti.

Menurut kenyataan Xinhua, keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Bertindak NPC, iaitu badan yang memantau sesi perundangan negara, selepas bersidang selama empat hari bermula Ahad.

Persidangan NPC pada asalnya dijadualkan bermula 5 Mac lalu.

Ketika perintah berkurung ke atas wilayah Hubei sudah ditarik balik, kawalan kuarantin ketat bagaimanapun masih dilakukan ke atas mana-mana individu memasuki Wuhan dari bahagian lain di China.

Tidak dapat dipastikan bagaimana proses keselamatan itu akan memberi kesan kepada perhimpunan hampir 3,000 delegasi. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X