Isnin, 27 April 2020 | 12:22am
Arab Saudi umum tingkatkan ujian berkaitan virus COVID-19. - Foto AFP
Arab Saudi umum tingkatkan ujian berkaitan virus COVID-19. - Foto AFP

Arab Saudi peruntuk RM1.2b buat ujian saringan COVID-19

RIYADH: Arab Saudi hari ini, memeterai perjanjian bernilai $265 juta (RM1.2 bilion) bersama China untuk meningkatkan ujian saringan COVID-19 susulan perintah berkurung di negara itu dilonggarkan, kecuali di beberapa kawasan termasuk Makkah.

Kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan menjelaskan, perjanjian dengan Institut Genom Beijing (BGI) itu akan menyediakan 9 juta saringan COVID-19.

Katanya, perjanjian itu turut menyediakan khidmat '500 pakar dan juruteknik' dari China untuk melakukan saringan berkenaan.

Perjanjian dengan nilai keseluruhan sebanyak 995 juta riyal itu juga termasuk 'penubuhan enam makmal di wilayah besar di negara itu, termasuk makmal mudah alih dengan kapasiti 10,000 saringan sehari," katanya.

Terdahulu, kerajaan mengarahkan perintah berkurung di seluruh negara itu dilonggarkan antara jam 9 pagi hingga 5 petang.

Selain itu, pusat beli-belah, perniagaan borong dan runcit dibenarkan untuk dibuka semula hingga 13 Mei depan, lapor Saudi Press Agency.

Bagaimanapun, perintah sekatan pergerakan itu masih berkuat kuasa di beberapa kawasan termasuk Makkah, susulan bilangan kes jangkitan yang tinggi direkodkan beberapa hari lalu.

Kebanyakan negara di Asia Barat dan Afrika Utara sudah melonggarkan sekatan pergerakan bagi menyambut kedatangan Ramadan, kelmarin.

Menteri Kesihatan pada Ahad, berkata jumlah kematian akibat COVID-19 meningkat kepada 139 kes, manakala jangkitan disahkan (17,522 kes) dan pesakit pulih sepenuhnya (2,357 kes). - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X