Jumaat, 27 March 2020 | 12:12pm
Pihak berkuasa Korea Selatan merayu rakyatnya supaya kekal di rumah dan elak berkumpul. - Foto Reuters
Pihak berkuasa Korea Selatan merayu rakyatnya supaya kekal di rumah dan elak berkumpul. - Foto Reuters

COVID-19: Rakyat Korea Selatan dirayu kekal di rumah

SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan merayu rakyatnya supaya kekal di rumah dan elak berkumpul berikutan negara itu mencatatkan kes positif COVID-19 hampir 100 kes setiap hari.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan, hari ini sahaja, negara itu mencatatkan 91 kes baharu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 9,332 kes.

Negara itu turut mencatatkan jumlah kes sama setiap hari sejak dua minggu lalu iaitu turun dari paras tertinggi melebihi 900 kes pada akhir bulan lalu.

Sehubungan itu, kerajaan tekad untuk meyakinkan orang ramai yang tidak peka bahawa penjarakan sosial dan pengasingan diri diperlukan bagi membantu mengurangkan rantaian penularan wabak itu.

Ketua Pengarah Dasar Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Yoon Tae-ho, berkata cuaca yang semakin baik membuat orang ramai merancang untuk keluar.

Namun, katanya, langkah penjarakan sosial seperti yang dikehendaki kerajaan tidak akan berjaya jika ia tidak dipatuhi.

"Penjarakan sosial akan gagal jika hanya seorang yang mematuhinya. Ia perlukan peranan semua masyarakat," katanya.

Di negara itu, dianggarkan sebanyak 28,500 tentera Amerika Syarikat (AS) diarahkan untuk mengehadkan pergerakan di Korea Selatan.

Semalam, seorang tentera AS yang bertugas di Kem Humphreys dekat selatan bandar Seoul diuji positif COVID-19.

Tentera AS di Korea Selatan dalam kenyataan berkata, wanita itu adalah tentera kedua dan individu ke-11 ada kaitan dengan Tentera AS Korea (USFK) diuji positif COVID-19.

Oleh itu, USFK mengisytiharkan darurat kesihatan awam yang sekali gus memberikan komander kuasa mengarahkan supaya dihadkan pergerakan dalam kalangan tentera, keluarga dan orang lain yang bekerja di kes itu. - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X