Khamis, 26 March 2020 | 6:52pm
Pelarian Rohingya menjalani aktiviti seharian seperti biasa tanpa memakai topeng sebagai langkah pencegahan terhadap coronavirus novel COVID-19, berkumpul di kawasan pasar di kem pelarian Kutupalong di Ukhia. - Foto AFP
Pelarian Rohingya menjalani aktiviti seharian seperti biasa tanpa memakai topeng sebagai langkah pencegahan terhadap coronavirus novel COVID-19, berkumpul di kawasan pasar di kem pelarian Kutupalong di Ukhia. - Foto AFP

COVID-19: Kepadatan kem Rohingya di Bangladesh cetus kebimbangan

KUTUPALONG: Keadaan kem sempit dan tidak bersih yang menempatkan hampir sejuta pelarian Rohingya di Bangladesh dilihat pakar sangat rapuh dan mampu mengundang pandemik lebih dekat di kawasan berkenaan.

Arahan menjarakkan diri sejauh dua meter di negara lain tidak mampu dicapai di kem terbesar di dunia itu yang menempatkan pelarian Muslim yang tiba pada tahun 2017 kerana melarikan diri dari tentera Myanmar.

Setiap kem hanya dijarakkan sejauh 10 meter persegi dan sesak dengan 12 orang di dalam sesebuah kem yang mana mereka mampu mendengar dengusan nafas daripada kem di sebelah.

Ketua Doktor Tanpa Sempadan Bangladesh, Paul Brockman, berkata pengasingan sosial di kem itu amat mustahil dilakukan dan cabarannya sangat besar.

Bangladesh mencatatkan hanya segelintir kematian dan kurang daripada 50 kes COVID-19, namun pakar bimbang ia akan bertambah, manakala masyarakat Rohingya hampir tidak mengetahui mengenai virus itu memandangkan kerajaan menyekat penggunaan internet sejak tahun lalu sebagai langkah mengatasi masalah pelarian.

Bagaimanapun, ketakutan semakin meningkat apabila empat sekeluarga Rohingya yang kembali dari India minggu lalu dikuarantin di pusat transit PBB untuk ujian, malah seorang wanita Bangladesh di Cox's Bazar berdekatan juga diuji positif COVID-19.

"Kami sangat bimbang jika virus itu tersebar di sini. Banyak bantuan dan pekerja komuniti datang ke kem setiap hari, malah ada beberapa diaspora Rohingya turut kembali yang memungkinkan mereka membawa virus itu juga," kata ketua komuniti Rohingya, Mohammad Jubayer.

Penghuni kem, Lokman Hakim, 50, menyatakan langkah pencegahan sangat kurang di kem yang mana hanya sabun diberikan, manakala Ketua Komuniti, Sayed Ullah, berkata kekangan internet menjadikan mereka tidak mendapat maklumat lanjut dan hanya mengetahui ramai orang mati akibat virus itu, selain hanya bergantung kepada Allah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan sukarelawan dan pekerja bantuan untuk melancarkan kempen basuh tangan di kem dan menggesa kerajaan untuk mengembalikan keperluan internet dalam kadar normal.

Jurucakap PBB, Louise Donovan, berkata komunikasi adalah langkah paling efektif ketika ini.

Ketika ini, Pejabat Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh menolak mengesahkan sama ada pihak berwajib akan memulihkan kembali internet.

"Kami sudah meminimumkan aktiviti bantuan di kem selain hanya makanan, kesihatan dan berkaitan undang-undang saja diteruskan," kata pegawai dari pejabat pesuruhjaya, Bimol Chakma. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X