Khamis, 26 March 2020 | 8:48am
Tarrant ketika dihadapkan ke mahkamah di Christchurch pada Mac tahun lalu. - FOTO AFP
Tarrant ketika dihadapkan ke mahkamah di Christchurch pada Mac tahun lalu. - FOTO AFP

Tragedi tembakan di masjid: Lelaki Australia mengaku bersalah semua pertuduhan

WELLINGTON: Lelaki warga Australia yang didakwa melakukan serangan tembakan di dua masjid New Zealand sehingga mengakibatkan 51 umat Islam terbunuh, tahun lalu, membuat perubahan fikiran mengejutkan apabila mengaku bersalah atas semua pertuduhan, hari ini.

Brenton Tarrant, 29, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan terbabit tindakan pengganas.

Tertuduh bagaimanapun menukar pengakuannya itu dalam satu pendengaran mahkamah yang diaturkan secara tergesa-gesa.

“Ya, bersalah,” kata Tarrant kepada Mahkamah Tinggi Christchurch menerusi pautan video dari Penjara Auckland sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya, sambil memandang ke arah kamera ketika membuat pengakuan berkenaan.

Tiada alasan diberikan bagi perubahan pengakuan itu, yang bermakna Tarrant tidak lagi perlu menjalani perbicaraan, iaitu satu proses di mana pihak berkuasa bimbang akan digunakan Tarrant sebagai platform untuk mempromosikan ideologi perkaumannya.

Hakim Cameron Mander kemudian merekodkan sabitan atas semua pertuduhan dan memaklumkan bahawa Tarrant akan dijatuhkan hukuman pada satu tarikh yang belum ditentukan.

“Pengakuan bersalah mewakili satu langkah amat signifikan ke arah membawa kesudahan kepada prosiding jenayah ini,” katanya.

Pengakuan itu dilakukan pada hari pertama New Zealand menjalani perintah berkurung selama empat minggu susulan penularan wabak COVID-19.

Mander berkata, hukuman hanya akan dijatuhkan selepas sistem mahkamah kembali berjalan seperti biasa nanti.

“Pada masa yang mangsa dan keluarga mereka boleh hadir sendiri ke mahkamah,” katanya.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, pula berkata pengakuan bersalah terbabit akan memberi sedikit kelegaan kepada ramai orang yang hidup mereka terjejas akibat serangan berkenaan.

“Pengakuan bersalah dan sabitan ini membawa akauntabiliti terhadap apa yang berlaku.

“Ia juga menyelamatkan keluarga yang kehilangan insan tersayang, mereka yang cedera dan saksi lain daripada melalui pengalaman getir perbicaraan,” katanya.

Sebelum ini, perbicaraan Tarrant dijadualkan bermula pada 2 Jun depan membabitkan tempoh selama kira-kira enam minggu.

Pesuruhjaya Polis, Mike Bush, berkata pendengaran mahkamah hari ini diaturkan secara tergesa-gesa selepas Tarrant menghubungi peguamnya pada Selasa lalu.

Beliau berkata dalam satu kenyataan, hanya 17 orang dibenarkan berada di dalam mahkamah untuk mendengar pengakuan Tarrant itu, termasuk imam daripada kedua-dua Masjid Al Noor dan Linwood.

Sementara itu, komuniti kecil Muslim di New Zealand berasa lega kerana mereka tidak perlu menempuhi perincian pahit dalam perbicaraan mengenai tragedi tembakan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah moden New Zealand berkenaan.

Farid Ahmed yang isterinya terkorban dalam kejadian itu, berkata beliau telah berdoa untuk Tarrant.

“Dia mengambil arah yang betul. Saya gembira dia berasa bersalah. Ia adalah satu permulaan yang baik,” katanya kepada TVNZ.

Dalam tragedi tembakan itu, Tarrant menyerang Masjid Al Noor sebelum meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Masjid Linwood sambil menyiarkannya secara langsung.

Semua mangsa kejadian adalah umat Islam, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X