Rabu, 25 March 2020 | 9:06pm
Gambar menunjukkan struktur dan bangunan tertinggi di dunia sejak tahun 2009 Burj Khalifa, di pusat bandar emirat Teluk Dubai. - Foto AFP
Gambar menunjukkan struktur dan bangunan tertinggi di dunia sejak tahun 2009 Burj Khalifa, di pusat bandar emirat Teluk Dubai. - Foto AFP

COVID-19: Iran rancang laksana peraturan lebih tegas

DUBAI: Iran merancang mengharamkan perjalanan Tahun Baharu Iran dan perhimpunan tradisional di taman, kata Presiden Hassan Rouhani hari ini, ketika angka kematian COVID-19 meningkat kepada 2,077 di negara terburuk dilanda pandemik itu di Asia Barat.

Rouhani berkata, lebih banyak larangan akan dikenakan untuk membendung penyebaran COVID-19 yang telah menjangkiti 27,017 orang di seluruh republik Islam itu. Kerajaan setakat ini enggan mengenakan perintah berkurung di bandar-bandar Iran.

“Pelan ini adalah tegas dan ia akan menimbulkan kesulitan dan sekatan untuk perjalanan, dan mendorong orang-orang yang telah mengembara untuk kembali ke rumah lebih cepat," kata Rouhani dalam ucapan yang disiarkan oleh televisyen negara.

Presiden itu berkata, perhimpunan akan dibataskan semasa Sizdah Bedar pada 1 April, festival alam semula jadi yang adalah sebahagian daripada perayaan di mana rakyat Iran secara tradisinya mengadakan aktiviti berkelah di luar rumah.

"Ini adalah keputusan sukar yang perlu untuk melindungi nyawa. Semua taman mungkin ditutup, dan Sizdah Bedar tidak akan seperti tahun-tahun sebelumnya, tetapi kami tidak mempunyai pilihan selain melakukannya," kata Rouhani sambil menambah bahawa butiran rancangan itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Nowruz, atau "hari baharu" di Parsi, adalah perayaan Tahun Baharu kuno dan tarikh paling penting dalam kalendar, apabila keluarga berkumpul dan bertukar hadiah.

Pegawai telah mengadu bahawa ramai warga Iran telah mengabaikan rayuan untuk tinggal di rumah dan membatalkan rancangan perjalanan dalam memerangi COVID-19.

Wabak yang semakin meningkat di Iran telah mengakibatkan 2,077 kematian di Iran, kata pegawai Kementerian Kesihatan Kianush Jahanpur hari ini, dengan 143 kematian yang direkodkan dalam 24 jam lalu.

Pihak berkuasa Iran telah menyeru rakyat Iran untuk mengelakkan tempat awam dan tinggal di rumah,

sementara sekolah, universiti, pusat kebudayaan dan sukan telah ditutup sementara di seluruh negara.

Rouhani berkata, langkah-langkah baharu akan dilaksanakan selama 15 hari sehingga 4 April, tatkala ketika di bawah keadaan biasa sekolah dibuka di Iran selepas cuti Tahun Baharu Parsi.

Pihak berkuasa mengumumkan jangkitan pertama Iran dan dua kematian akibat virus itu pada 19 Februari.

Pegawai Iran, termasuk Rouhani, telah berulang kali menolak kebimbangan yang ditimbulkan oleh ramai rakyat Iran atas pengendalian wabak itu, dengan mengatakan semua langkah yang diperlukan untuk mengatasi krisis telah diambil. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X