Rabu, 25 March 2020 | 2:48pm
Trump meminta bantuan Korea Selatan berhubung peralatan perubatan bagi memerangi wabak COVID-19 di AS. - FOTO AFP
Trump meminta bantuan Korea Selatan berhubung peralatan perubatan bagi memerangi wabak COVID-19 di AS. - FOTO AFP

COVID-19: Trump minta bantuan Korea Selatan

SEOUL: Korea Selatan memaklumkan akan menghantar peralatan perubatan ke Amerika Syarikat (AS) untuk memerangi COVID-19, jika ada lebihan selepas menerima permintaan mendesak daripada Presiden Donald Trump.

Bagi tujuan itu, Trump berjanji membantu firma negara ini memperoleh kelulusan daripada Kerajaan AS untuk peralatan berkenaan.

Berita itu yang menyebabkan saham pembuat kit ujian COVID-19 di Korea Selatan melonjak tinggi, menunjukkan laluan berbeza diambil kedua-dua negara sejak mengesan kes pertama masing-masing pada hari sama.

Selepas penularan awal yang besar, Korea Selatan melaksanakan ujian secara meluas dalam masa beberapa hari dan pantas melancarkan program agresif untuk mengasingkan kes yang disahkan serta mengesan kontak mereka.

Ia menerima pujian kerana berjaya memperlahankan penularan wabak itu dengan hanya sedikit gangguan dan 125 kematian, manakala bilangan jangkitan baharu setiap hari adalah bawah 100 kes berturut-turut sejak 13 hari lalu.

AS pula melakukan ujian kecil pada mulanya sebelum menutup bahagian dalam negara secara besar-besaran, dengan wabak berkembang pantas di beberapa negeri dan mencatatkan ribuan kes baharu setiap hari.

Melalui perbualan telefon selama 23 minit, Trump memberitahu Presiden Moon Jae-in bahawa beliau akan membantu pengeluar Korea Selatan mendapatkan kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS untuk peralatan mereka, kata pejabat Rumah Biru dalam satu kenyataan, semalam.

Jae-in pula memberitahu Trump bahawa Korea Selatan ‘akan memberi sokongan sebanyak mungkin, jika terdapat peralatan perubatan lebihan di Korea’. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X