Ahad, 15 March 2020 | 8:41pm
Kanak-kanak Syria berlindung di khemah ketika hujan di kem pelarian di Albrdkulai, di utara wilayah Idlib di Syria. - Foto AFP
Kanak-kanak Syria berlindung di khemah ketika hujan di kem pelarian di Albrdkulai, di utara wilayah Idlib di Syria. - Foto AFP

Hampir 5 juta 'anak perang' Syria

AMMAN: Sekurang-kurangnya 4.8 juta kanak-kanak lahir ketika perang Syria bermula sejak sembilan tahun lalu, manakala 9,000 orang terbunuh atau cedera akibat konflik itu.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), berkata statistik menunjukkan kira-kira sejuta kanak-kanak dilahirkan sebagai pelarian sejak konflik meletus pada 15 Mac 2011.

Pengarah Eksekutifnya, Henrietta Fore, yang berada di Syria minggu lalu berkata perang terbabit menandakan satu lagi peristiwa penting yang memalukan.

“Sebaik saja konflik ini mencapai tahun ke-10, jutaan kanak-kanak turut memasuki dekad kedua kehidupan dikelilingi perang, keganasan, kematian dan perpindahan,” katanya.

Dalam tempoh yang sama, hampir 5,000 kanak-kanak seawal usia tujuh tahun di rekrut untuk berperang dan hampir 1,000 kemudahan pendidikan serta perubatan diserang.

Agensi berkenaan juga memberi amaran bahawa kesan sebenar perang terhadap anak-anak terbabit mungkin lebih mendalam.

Pengarah Serantau untuk Timur Tengah dan Afrika Utara UNICEF, Ted Chaiban, berkata serangan berterusan oleh pasukan kerajaan terhadap kubu pemberontak terakhir di Syria meninggalkan kesan yang teruk pada kanak-kanak.

Menurut UNICEF, sejak Disember lalu, kira-kira 960,000 orang sudah melarikan diri termasuk lebih 575,000 kanak-kanak, selain lebih 2.8 juta kanak-kanak tidak bersekolah di Syria dan negara jiran akibat konflik itu.

Dua daripada lima sekolah tidak boleh digunakan kerana musnah dan kini digunakan untuk melindungi keluarga atau untuk tujuan ketenteraan.

Fore berkata, mesej mereka ialah jelas, hentikan serangan ke atas sekolah dan hospital.

“Hentikan pembunuhan dan mencederakan kanak-kanak. Beri kami akses merentasi sempadan untuk sampai kepada mereka yang memerlukan. Terlalu ramai kanak-kanak yang menderita terlalu lama,” katanya. - AFP

Berita Harian X