Khamis, 12 March 2020 | 9:51am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

COVID-19: Arab Saudi gantung sementara perjalanan, henti penerbangan

KAHERAH: Arab Saudi menggantung sementara perjalanan rakyat dan penduduk serta menghentikan penerbangan membabitkan beberapa negara susulan kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

Menurut laporan agensi berita SPA yang memetik sumber di Kementerian Dalam Negeri, hari ini, negara berkenaan meliputi Kesatuan Eropah (EU), Switzerland, India, Pakistan, Sri Lanka, Filipina, Sudan, Ethiopia, Sudan Selatan, Eritrea, Kenya, Djibouti dan Somalia.

Malah, sumber itu berkata, Arab Saudi turut menggantung kemasukan individu yang datang dari senarai negara terbabit.

Selain itu, Arab Saudi menggantung trafik penumpang melalui semua lintasan darat dengan Jordan. Namun, trafik kargo serta komersial masih dibenarkan, selain laluan bagi kes kemanusiaan luar biasa.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak termasuk petugas kesihatan dari Filipina dan India di negara ini, dengan perjalanan untuk perdagangan, penghantaran serta pemindahan perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Arab Saudi mencatatkan 45 kes coronavirus, setakat ini.

Sementara itu di Dubai pula, agensi berita KUNA semalam melaporkan bahawa Kuwait akan menghentikan semua penerbangan komersial masuk dan keluar dari negara Teluk terbabit, bermula esok hingga makluman lanjut, dengan pengecualian kepada pesawat kargo.

Pihak berkuasa turut mengumumkan cuti umum di Kuwait dari 12 hingga 26 Mac ini, dengan hari kembali bekerja ditetapkan pada 29 Mac. Bagaimanapun, entiti yang menyediakan perkhidmatan penting akan kekal dibuka dalam tempoh berkenaan.

Menurut laporan itu lagi, orang ramai juga dilarang mengunjungi restoran dan kafe, termasuk yang berada di dalam pasar raya. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X