Ahad, 1 March 2020 | 5:58pm
Polis anti rusuhan menahan penunjuk perasaan di Mong Kok, Hong Kong. - Foto REUTERS
Polis anti rusuhan menahan penunjuk perasaan di Mong Kok, Hong Kong. - Foto REUTERS

Polis HK tembak gas pemedih mata suraikan penunjuk perasaan

HONG KONG: Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan ratusan penunjuk perasaan berpakaian serba hitam dengan segelintir daripada mereka membawa bom petrol.

Perhimpunan terbabit adalah sempena memperingati tragedi polis menyerbu dan menahan kumpulan penunjuk perasaan di stesen kereta api bawah tanah enam bulan lalu.

Dalam perhimpunan di daerah Mong Kok dan stesen bawah tanah Prince Edward itu, seorang anggota polis dibaling botol plastik dan payung.

Penunjuk perasaan melaungkan ‘bebaskan Hong Kong’, ‘ini masa revolusi’ selain menggesa pasukan polis dimansuhkan.

Beberapa penunjuk perasaan turut menyebabkan kebakaran di Nathan Road di daerah Kowloon, menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan yang terkenal sebagai syurga membeli-belah itu.

Seorang penunjuk perasaan dilihat membaling bom petrol ke arah kenderaan polis, namun tersasar manakala beberapa lagi membuat sekatan jalan menyebabkan stesen kereta api bawah tanah Mong Kok ditutup sepenuhnya.

Polis dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya mengguna pakai tindakan minimum bagi menyuraikan penunjuk perasaan selain menasihatkan orang awam supaya menjauhi kawasan perhimpunan itu. - REUTERS

Berita Harian X