Jumaat, 28 Februari 2020 | 6:22pm
Anjing peliharaan dikuarantin di sebuah pusat haiwan di Hong Kong selepas ia diuji positif COVID-19. - Foto AFP
Anjing peliharaan dikuarantin di sebuah pusat haiwan di Hong Kong selepas ia diuji positif COVID-19. - Foto AFP

COVID-19: Anjing peliharaan dikuarantin di Hong Kong

HONG KONG: Anjing peliharaan dikuarantin di sebuah pusat haiwan di Hong Kong selepas ia diuji positif COVID-19, kata pegawai hari ini, kes pertama seumpama itu di bandar itu.

Anjing milik seorang wanita berusia 60 tahun yang dijangkiti virus itu, tidak mempunyai "gejala yang relevan", kata Jabatan Pertanian, Perikanan dan Pemuliharaan.

Namun, ‘sampel rongga hidung dan mulut telah diuji positif positif virus COVID-19’," kata seorang jurucakap, tanpa menjelaskan terlebih dulu mengapa mereka menguji haiwan terbabit.

Anjing itu diambil dari rumah pemiliknya pada hari Rabu, selepas wanita itu didiagnosis positif wabak itu dan diletakkan di wad pengasingan hospital.

Ia akan dipantau dengan teliti dan menjalani ujian lanjut untuk mengesahkan sama ada ia benar-benar mempunyai virus atau "ini adalah pencemaran alam sekitar terhadap mulut dan hidung anjing," kata jabatan itu.

Anjing itu akan ditahan sehingga ia kembali menghasilkan keputusan negatif.

Walaupun tidak ada bukti haiwan domestik seperti anjing dan kucing boleh mendapat virus atau menyebarkannya kepada manusia, jabatan itu mengatakan bahawa haiwan peliharaan yang menyebabkan jangkitan kepada manusia harus dikuarantin selama 14 hari.

Hab kewangan itu telah mengesahkan 93 kes COVID-19, dengan mencatatkan dua kematian awal bulan ini.

Wabak itu yang muncul di China pada tengah bulan Disember, telah menjangkiti lebih daripada 83,000 orang di seluruh dunia. - AFP

Berita Harian X