Jumaat, 28 Februari 2020 | 12:39pm
Kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng. NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL
Kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng. NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL

COVID-19: Lynas lihat potensi jana keuntungan

MELBOURNE: Isu penularan coronavirus (COVID-19) memberi sedikit kesan terhadap Lynas Corp (Lynas) berikutan kebergantungan penuh kepada China, sekali gus mewujudkan risiko dalam pembekalan nadir bumi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze, dalam taklimat kepada penganalisis, memaklumkan hanya sedikit kesan langsung ke atas pasaran memandangkan kegunaan nadir bumi amat meluas.

Bagaimanapun, katanya, isu logistik di China yang menjadi pengeluar utama pasaran nadi bumi terkesan akibat virus itu, sekali gus membuka potensi kepada Lynas.

“Hasil perbualan dengan pengguna akhir adalah berkenaan risiko untuk mereka memperkenalkan rantaian bekalan tetapi tidak mempunyai bekalan yang pelbagai,” katanya.

Lynas, pengeluar nadir bumi terbesar di luar China, baru-baru ini kerugian hampir 80 peratus bagi setengah tahun ini disebabkan pasaran lemah, pembayaran bon keselamatan di loji pemprosesan di Malaysia dan perbelanjaan operasi lebih tinggi.

Justeru, Lynas menyasarkan peralihan tumpuan pelabur berhubung kedudukan China dalam industri nadir bumi di samping dapat memainkan peranan dalam perang perdagangan China-Amerika Syarikat (AS).

Semalam, Malaysia meluluskan lesen baharu tiga tahun untuk meneruskan operasi Lynas, bagaimanapun perlu mematuhi beberapa syarat.

Lynas sudah mendepositkan AS$11.6 juta (RM48.9 juta) kepada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia bagi pengoperasian loji bernilai AS$S800 juta (RM3.4 juta) di Kuantan, Pahang.

Lynas berkata, pengeluaran neodymium dan praseodymium yang digunakan dalam magnet, merudum lebih 10 peratus bagi setengah tahun kepada 2,512 tan, manakala pengeluaran nadir bumi Oxide turun 22 peratus kepada 7,518 tan metrik.

Kata Lacaze, meskipun sudah menerima permit menambah import ke Malaysia, Lynas turut memberi tumpuan bagi mendapatkan lebih banyak permit memproses bahan. - REUTERS

Berita Harian X