Khamis, 27 Februari 2020 | 6:05pm
Mangsa buli, lelaki kerdil di Australia, Quaden Bayles. - Foto Screengrab
Mangsa buli, lelaki kerdil di Australia, Quaden Bayles. - Foto Screengrab

Budak kerdil mangsa buli mahu derma RM1.9 juta

SYDNEY: Seorang kanak-kanak lelaki kerdil di Australia akan mendermakan AS$475,000 (RM1.9 juta) kepada badan kebajikan.

Ia hasil sumbangan orang ramai yang bersimpati dengannya selepas video dia menangis kerana menjadi mangsa buli tular di Internet.

Derma disumbangkan secara dalam talian menerusi laman web GoFundMe, inisiatif pelawak Amerika Syarikat Brad Williams yang juga insan kerdil.

Sebelum ini, Williams melancarkan kutipan untuk membawa kanak-kanak itu, Quaden Bayles, 9, ke Disneyland di California, AS.

Bagaimanapun, ibu saudara kepada Bayles memberitahu bahawa membawa Bayles ke taman tema itu tidak akan menyelesaikan isu buli berkenaan.

“Pergi ke mana-mana tempat yang menyeronokkan tidak akan menghilangkan isu sebenar yang dihadapi setiap iaitu dibuli,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kisah Bayles mendapat liputan meluas di media sosial selepas videonya menangis akibat dibuli kerana keadaan fizikalnya tular di Internet.

Dalam video berkenaan, budak itu juga mendakwa mahu mati kerana tidak tahan dibuli.

Susulan itu, ia menarik perhatian Williams yang melancarkan kempen kutipan derma menerusi laman web, GoFundMe.

Selain itu, video itu turut menarik perhatian pelakon popular Australia, Hugh Jackman yang turut memuat naik hantaran di Instagram. - AFP

Berita Harian X