Khamis, 20 Februari 2020 | 3:21pm

Lelaki bakar isteri, 3 anak hidup-hidup dalam kereta

SYDNEY: Seorang bekas pemain ragbi disyaki membunuh isteri dan tiga anaknya dengan membakar mereka hidup-hidup dalam sebuah kereta.

Pihak polis, yang menyifatkannya sebagai tragedi amat ngeri, berkata wanita terbabit, Hannah Clarke, 31, meninggal dunia di hospital di Brisbane, beberapa jam selepas tiga anaknya berusia tiga, empat dan enam ditemui mati dalam sebuah kereta di tepi jalan.

Suaminya, Rowan Baxter, yang turut terbunuh, dikatakan menyimbah petrol ke atas kenderaan itu sebelum membakarnya, mengikut laporan akhbar The Australian.

Menurut akhbar sama, Clarke berjaya melompat keluar dari kereta yang terbakar dan berguling atas tanah sambil berkata, “dia menuang petrol ke atas saya”.

Pihak berkuasa berkata, mangsa segera dikejarkan ke hospital dengan kesan melecur teruk tetapi menemui ajak akibat kecederaannya.

Baxter, 42, bekas pemain ragbi bagi pasukan New Zealand Warriors, dipercayai turut berada dalam kereta yang sedang terbakar tetapi berjaya keluar, namun ditemui mati di laluan pejalan kaki berhampiran.

Penyiasat Polis Queensland, Inspektor Mark Thompson, berkata Baxter mati akibat melecur dan kecederaan daripada tindakannya melukakan diri sendiri.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kami percaya Clarke dan tiga anaknya dibunuh manakala tiada kecurigaan mengenai kematian Baxter,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Perkhidmatan Ambulans Queensland, berkata seorang orang awam yang cuba membantu mangsa kebakaran turut mengalami kesan lecur pada mukanya dan dibawa ke hospital.

Adik ipar Clarke, Stacey Roberts, memulakan kutipan derma bagi menampung kos pengebumian dan membantu ibu bapa Clarke, yang menurutnya sudah berputus asa cuba membantu mendiang anak mereka berpisah dengan Baxter. - AFP

Berita Harian X