Isnin, 20 Januari 2020 | 10:39am
Jumlah kematian akibat konflik di Yaman sering menjadi perdebatan. - Foto AFP
Jumlah kematian akibat konflik di Yaman sering menjadi perdebatan. - Foto AFP

Serangan di Marib, lebih 100 maut

DUBAI : Lebih daripada 100 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam serangan dron dan peluru berpandu, didakwa dilakukan pemberontak Huthi di Yaman, kata sumber rasmi kerajaan hari ini.

Serangan pada Sabtu lalu itu menamatkan ketenangan dalam tempoh beberapa bulan antara pemberontak Huthi dan kerajaan Yaman yang menerima sokongan pasukan gabungan diketuai Arab Saudi.

Sumber tentera memberitahu, pemberontak Huthi menyerang masjid di dalam sebuah kem tentera di wilayah Marib, kira-kira 170 kilometer di timur Sanaa ketika waktu solat Isyak.

“Kami mengecam keras serangan ke atas masjid ini yang mengorbankan lebih 100 orang dan mencederakan puluhan yang lain,” kata menteri luar Yaman menerusi Twitter.

Jurucakap tentera berkata, antara yang maut adalah anggota tentera dan orang awam.

Kesemua mangsa dibawa ke hospital di bandar Marib.

Jumlah kematian akibat konflik di Yaman sering menjadi perdebatan namun kematian besar di Marib itu mewakili antara serangan terburuk pernah dibuat sejak peperangan meletus pada 2014 apabila pasukan pemberontak menawan Sanaa.

Huthi bagaimanapun masih tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan terbaharu itu. - AFP

Berita Harian X