X
Rabu, 15 Januari 2020 | 6:47pm
Shinjiro Koizumi mengumumkan mahu mengambil cuti sempena isteri bersalin atau paterniti dua minggu, adalah tindakan pertama kali dibuat seorang menteri Kabinet secara terbuka. - Foto Reuters
Shinjiro Koizumi mengumumkan mahu mengambil cuti sempena isteri bersalin atau paterniti dua minggu, adalah tindakan pertama kali dibuat seorang menteri Kabinet secara terbuka. - Foto Reuters

Menteri Jepun pertama umum cuti paterniti

TOKYO: Tindakan Menteri Alam Sekitar Jepun, Shinjiro Koizumi, mengumumkan mahu mengambil cuti sempena isteri bersalin atau paterniti dua minggu, adalah tindakan pertama kali dibuat seorang menteri Kabinet secara terbuka di negara matahari terbit itu.

Koizumi, 38, yang mesra media, berkahwin dengan bekas pengacara televisyen, memberitahu keputusannya itu sukar, lebih-lebih lagi bagi mengimbangi tugasnya sebagai menteri dan hasratnya untuk bersama dengan anaknya yang baru lahir.

"Saya mahu mengambil masa dua minggu secara fleksibel, membuat pengecualian untuk tugas awam yang penting," katanya yang berharap keputusannya akan membantu mengubah persepsi dan menggalakkan lebih ramai bapa di Jepun mengikut jejaknya.

Koizumi mengakui cuti yang diambil bukannya secara terus menerus sebaliknya beliau akan bekerja dari jarak jauh atau memendekkan hari bekerja semasa tempoh cuti berkenaan - yang akan diagihkan sepanjang tiga bulan dari hari kelahiran anaknya.

Jurucakap tertinggi kerajaan menyokong langkah itu, mengatakan ia "penting untuk mewujudkan suasana tempat kerja yang kondusif dan penerimaan sosial dan sokongan bagi lelaki yang mengambil cuti paterniti."

Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga, memberitahu pemberita bahawa beliau berharap keputusan Koizumi akan memberi kesan positif terhadap sikap keibubapaan golongan lelaki.

Tiada rekod rasmi mengenai sama ada menteri Kabinet sebelum ini telah mengambil cuti paterniti tetapi Koizumi adalah orang pertama yang mengumumkan bahawa dia berbuat demikian.

Koizumi adalah anak bekas Perdana Menteri, dinamakan sebagai Menteri Alam Sekitar dalam rombakan Kabinet September lalu, menjadi menteri Jepun termuda yang ketiga sejak berakhirnya Perang Dunia II.

Beliau dilihat sebagai menteri yang menyerlah dan berpotensi besar dalam kerajaan, berdasarkan tingkah laku dan pandangannya yang disuarakan di dalam media tempatan.

Mengikut undang-undang, Jepun menawarkan cuti paterniti kepada pekerja lelaki yang bekerja. Ibu bapa yang bekerja boleh mengambil cuti setahun, dengan tambahan enam bulan jika tiada tempat pengasuhan di sediakan majikan.

Namun, hanya enam peratus daripada bapa yang mengambil cuti paterniti berbanding lebih 80 peratus ibu yang menggunakan elaun mereka melebihi lapan minggu selepas lahir.

Daripada keseluruhan yang mengambil cuti paterniti itu lebih daripada 70 peratus bercuti kurang dari dua minggu.

Aktivis tempatan menyatakan tekanan masyarakat menyebabkan majikan enggan memberikan cuti paterniti yang panjang.

Beberapa orang telah mendakwa majikan mereka mengamalkan "pata-hara", memberi cuti pendek untuk paterniti, malah ada yang meminta memendekkan cuti walaupun sudah memohon untuk bercuti panjang.

Isu itu menimbulkan kebimbangan terutama berkaitan kadar kelahiran di Jepun, yang mana pada 2018 kadar kelahiran di negara itu dicatatkan antara yang yang paling rendah di dunia malah jauh daripada kadar untuk mengekalkan jumlah penduduk.

Selain isu itu, ada pelbagai sebab lain yang menyebabkan penurunan kadar kesuburan di negara itu yang mendesak kerajaan meningkatkan ruang untuk pusat asuhan dan menggalakkan wanita untuk kembali bekerja selepas bersalin. - AFP

Berita Harian X