Khamis, 9 Januari 2020 | 12:21pm
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menghadiri sidang akhbar mengenai penerbangan PS752 dari Tehran ke Kiev yang terhempas sejurus selepas berlepas, di Ottawa, Ontario, Kanada. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menghadiri sidang akhbar mengenai penerbangan PS752 dari Tehran ke Kiev yang terhempas sejurus selepas berlepas, di Ottawa, Ontario, Kanada. - Foto REUTERS

PM Kanada ratapi mangsa pesawat terhempas di Iran

TRENTON: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata suasana sedih dan suram menyelubungi negara itu selepas sebuah pesawat penumpang terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang Iran dan mengorbankan 176 orang yang menaikinya, termasuk 63 rakyat Kanada, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Menerusi satu video yang disiarkan secara langsung oleh perkhidmatan berita Kanada, Trudeau bercakap mengenai tragedi itu.

“Rakyat Kanada di seluruh negara berasa terkejut dan sedih. Mereka (mangsa) mempunyai begitu banyak potensi dan kehidupan yang bermakna menanti mereka,” katanya.

Menjawab soalan pemberita, Trudeau berkata meskipun “terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai punca" nahas, beliau tidak boleh menolak kemungkinan bahawa pesawat itu telah ditembak jatuh.

Beliau berkata nahas itu akan “disiasat dengan teliti.”

“Rakyat Kanada mempunyai soalan dan mereka berhak mendapat jawapan,” katanya sambil menambah bahawa Menteri Luar Kanada, Francois-Philippe Champagne akan berunding dengan rakan sejawatnya dari Iran dan menekankan keperluan untuk melakukan siasatan yang meluas.

Daripada sejumlah 176 orang yang menaiki pesawat jenis Boeing 737-800 itu, 138 melakukan perjalanan ke ibu kota Ukraine iaitu Kyiv untuk membuat penerbangan sambung ke Kanada.

Mangsa nahas itu membabitkan 63 rakyat Kanada, 82 rakyat Iran, 11 rakyat Ukraine, 10 rakyat Sweden, empat rakyat Afghanistan dan masing-masing tiga rakyat Jerman serta Britain.

Penerbangan Ukraine International Airlines yang menggunakan sebuah pesawat dibina pada 2016 itu telah diperiksa pada Isnin dan mempunyai “rekod keselamatan yang amat, amat baik,” kata pakar penerbangan John Cox, Ketua Pengarah Eksekutif Keselamatan Sistem Operasi yang berpangkalan di Washington DC. - BERNAMA

Berita Harian X