Sabtu, 4 Januari 2020 | 8:39am
Gambar fail, demonstrasi oleh penduduk Iran yang membantah pembunuhan komander tentera, Qassem Soleimani di ibu pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu di Tehran, Iran. - Foto REUTERS
Gambar fail, demonstrasi oleh penduduk Iran yang membantah pembunuhan komander tentera, Qassem Soleimani di ibu pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu di Tehran, Iran. - Foto REUTERS

Pembunuhan Soleimani bertujuan halang serangan - AS

BAGHDAD: Iran berikrar akan membalas dendam selepas serangan udara Amerika Syarikat di Iraq semalam mengorbankan komander tentera paling terkenal negara itu,

Qassem Soleimani, yang juga orang kuat di sebalik peningkatan pengaruh republik berkenaan di Asia Barat.

Soleimani, 62, jeneral yang mengetuai sayap luar negara Pengawal Revolusi, yang dianggap tokoh kedua paling berpengaruh selepas pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Serangan tengah malam kelmarin itu, yang mendapat kebenaran Presiden Donald Trump, adalah peningkatan ketara ‘perang proksi’, di Asia Barat antara Iran dan AS dan sekutunya, terutama Israel dan Arab Saudi.

Pegawai kanan pentadbiran Trump berkata, Soleimani merancang serangan ke atas rakyat AS di seluruh Asia Barat.

Pengkritik daripada parti Democratic berkata, arahan oleh presiden Republican itu bersifat melulu dan beliau meningkatkan risiko lebih banyak keganasan di rantau bahaya itu.

“Soleimani merancang serangan ke atas diplomat dan anggota tentera AS tetapi kami menyedari dan membunuh beliau.

“Kami bertindak malam semalam untuk menghentikan perang. Kami tidak bertindak untuk memulakan perang,” kata Trump kepada wartawan di pusat percutian Mar-a-Lago di Florida.

Beliau berkata, AS tidak berhasrat menukar rejim di Iran, tetapi menegaskan Teheran perlu menamatkan apa yang disifatkan beliau pencerobohan di rantau itu, termasuk penggunaanya pejuan proksi.

Jeneral AS menyuarakan kebimbangan rancangan diatur Soleimani masih boleh berlaku di sebalik kematiannya.

Pegawai berkata, Washington menghantar hampir 3,000 anggota tentera lagi ke Asia Barat, menyertai 750 yang dikerah ke Kuwait minggu ini.

Serangan itu, yang turut meragut nyawa komander militia Iraq, dan penasihat kepada Soleimani, Abu Mahdi al-Muhandis, memecahbelahkan rakyat Iraq.

Ramai mengutuk serangan itu, melihat Soleimani sebagai wira bagi peranannya menewaskan Daesh.

Sebahagian yang lain menyokong serangan, berkata Soleimani dan Muhandis menyokong penggunaan kekerangan terhadap penunjuk perasaan antikerajaan yang tidak bersenjata tahun lalu dan menubuhkan kumpulan militia yang dipersalahkan ke atas masalah sosial dan ekonomi Iraq.

Bagaimanapun, ramai rakyat Iraq mengkritik Washington bagi pembunuhan itu di bumi Iraq dan kemungkinan menyebabkan negara itu terjerumus dalam satu lagi peperangan. — Reuters

Berita Harian X