Jumaat, 27 Disember 2019 | 7:37am
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto AFP
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto AFP

Netanyahu kekal terajui parti Likud

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengisytiharkan kemenangannya dalam kepemimpinan utama Likud hari ini, membolehkan beliau mengetuai parti itu berhadapan pilihan raya Mac ini.

“Kemenangan besar! Terima kasih kepada anggota Likud kerana kepercayaan, sokongan dan kasih sayang,” katanya dalam Twitter, sejam selepas undian ditutup.

Keputusan awal menunjukkan Netanyahu selesa mendahului pencabarnya Gideon Saar, walaupun kiraan akhir dijangka mengambil masa beberapa jam.

“Dengan bantuan Tuhan dan anda semua, saya akan mengetuai Likud memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya akan datang dan akan terus menerajui Israel untuk pencapaian yang tidak pernah diperoleh sebelum ini,” katanya.

Kira-kira 57,000 anggota Likud mengundi di seluruh wilayah itu semalam.

Saar, bekas menteri yang dilihat sebagai orang kanan Netanyahu, menulis dalam Twitter selepas undian ditutup, berterima kasih kepada penyokong, sukarelawan dan pengundi.

Beliau mengumumkan penyertaan dalam persaingan kepemimpinan bulan lalu selepas

pendakwa raya Israel mendakwa Netanyahu atas tuduhan rasuah dan pecah amanah.

Netanyahu, 70, menafikan dakwaan dan menuduh polis, pendakwa raya dan media cuba memburukkan beliau.

Netanyahu akan kekal sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya Mac ini, yang ketiga di Israel dalam masa 12 bulan.

Likud dan parti Blue and White terikat selepas pilihan raya pada Mac dan September lalu, dengan kedua-duanya tidak dapat membentuk kerajaan. — AFP

Berita Harian X