Khamis, 28 November 2019 | 5:52pm

TikTok mohon maaf 'terbuang' video

SHANGHAI: Pengendali aplikasi media sosial TikTok mengemukakan permohonan maaf kepada seorang pengguna selepas berlaku ‘sedikit kecuaian manusia’ kerana memadamkan rakaman video yang mengkritik layanan China terhadap umat Islam, tetapi video itu dimuat naik semula dalam tempoh kurang satu jam.

Kontroversi berhubung rakaman video itu, yang ditonton lebih 1.6 juta kali tercetus apabila syarikat pemilik TikTok China, ByteDance, berdepan siasatan oleh panel keselamatan kebangsaan Amerika Syarikat berhubung cara syarikat itu mengendalikan data peribadi, pada masa sama ia turut menimbulkan kebimbangan ahli perundangan Amerika Syarikat bimbang ia mungkin menapis kandungan politik yang agak sensitif.

Rakaman video yang dimuat naik pengguna yang menggunakan identiti Feroza Aziz itu minggu lalu berkongsi cara melentikkan bulu mata, sambil bercakap bagaimana umat Islam dilayan dan ingin mewujudkan kesedaran berhubung situasi itu.

Bagaimanapun, menerusi akaun Twitter minggu ini, wanita itu mengesahkan akaun miliknya disekat selama sebulan dan rakaman videonya yang viral sudah dipadamkan, hanya dimuat naik kembali kemudian.

Menerusi laman web TikTok berkata rakaman video itu berada di luar talian selama 50 minit.

“Kami ingin memohon maaf kepada pengguna disebabkan berlaku kecuaian di pihak kami,” kata Ketua Keselamatan Aplikasi Amerika Syarikat, Eric Han.

Katanya disebabkan kecuaian, video yang tular sejak 23 November itu dipadamkan. Agak penting untuk menjelaskan bahawa tidak ada dalam garis panduan syarikat bahawa video sedemikian melanggar peraturan kandungan dan ia tidak sepatutnya dibuang.

Pengguna TikTok itu tidak memberikan maklum balas segera kepada Reuters untuk mendapatkan komen tambahan. - Reuters

Berita Harian X