Ahad, 24 November 2019 | 7:57am
Pemimpin parti Biru dan Putih, Benny Gantz, memberi ucapan di Tel Aviv, Israel, semalam. -Foto Reuters
Pemimpin parti Biru dan Putih, Benny Gantz, memberi ucapan di Tel Aviv, Israel, semalam. -Foto Reuters

Benny Gantz rayu sokongan Likud jadi PM Israel

TEL AVIV: Pencabar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Benny Gantz semalam menggesa pemimpin parti Likud menyertainya untuk membentuk kerajaan selepas ketua mereka didakwa atas tuduhan rasuah.

“Berikutan situasi itu, saya menggesa pembentukan kerajaan terbesar mungkin di bawah kepimpinan saya. Saya akan menjadi perdana menteri untuk dua tahun pertama.

“Jika Netanyahu ‘dibersihkan daripada sebarang salah laku, beliau boleh kembali dan menjadi perdana menteri,” kata Gantz dalam sidang media merujuk parti sayap kanan Likud.

Khamis lalu, Peguam Negara Israel Avichai Mandelblit mengumumkan, beliau mendakwa Netanyahu atas tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah, mencetuskan spekulasi kepimpinan selama sedekad pemimpin itu bakal berakhir.

Pendakwaan itu dilakukan ketika Israel semakin hampir mengadakan pilihan raya ketiga dalam tempoh setahun, selepas dua pemilihan gagal mencapai sebarang keputusan pada April dan September lalu.

Rabu lalu, bekas jeneral tentera Gantz, yang mana partinya memperoleh kelebihan satu undi berbanding Likud dalam pilihan raya September lalu berkata, beliau gagal membentuk kerajaan dan memperoleh majoriti dalam 120 kerusi Knesset atau parlimen.

Gantz, pemimpin haluan tengah pakatan Biru dan Putih, diminta membentuk kerajaan oleh Presiden Reuven Rivlin selepas Netanyahu gagal berbuat demikian. Bagaimanapun, Netanyahu kekal perdana menteri sementara Israel.

Parlimen kini mempunyai tempoh kurang tiga minggu untuk mencari calon yang dapat meraih sokongan lebih separuh 120 pembuat dasar Knesset atau pilihan raya ketiga bakal diadakan. -AFP

Berita Harian X