Khamis, 21 November 2019 | 7:32am

Israel arah pertubuhan Palestin, stesen TV ditutup

BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa Israel menutup beberapa pertubuhan Palestin di Baitulmaqdis semalam termasuk satu saluran televisyen, kata menteri rejim dan pegawai pertubuhan.

Pejabat Palestine TV, rangkaian yang dibiaya Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan pejabat Kementerian Pendidikan Palestin diarah tutup selama enam bulan, kata kakitangan yang enggan dikenali.

Pengarah syarikat produksi al-Araz yang menjadi hos Palestine TV juga ditahan sementara, manakala wartawan saluran televisyen berkenaan dipanggil untuk disoal siasat, kata sumber Palestin.

Menteri Keselamatan Umum Israel, Gilad Erdan, mengesahkan penutupan pejabat yang digunakan Palestine TV dan kementerian pendidikan.

“Saya akan meneruskan dasar tegas terhadap sebarang cubaan PA untuk melanggar kedaulatan kami di Baitulmaqdis,” kata Erdan dalam kenyataan yang mewajarkan penutupan itu.

Beliau menuduh Palestine TV menerbitkan kandungan anti-Israel yang disifatkan bertanggungjawab terhadap jenayah perang dan pembersihan etnik.

Penduduk Palestin mengutuk penutupan itu.

“Ini adalah lanjutan kempen rejim Zionis terhadap semua penduduk Palestin di Baitulmaqdis,” kata pegawai kanan Palestin, Hanan Ashrawi.

Satu pertubuhan Palestis, MADA, yang mempertahankan kebebasan bersuara, berkata penutupan adalah sebahagian usaha Israel untuk mendiamkan media dan menghalang berita penduduk Palestin tersebar, menerusi penindasan terhadap media dan wartawan. — AFP

Berita Harian X