Rabu, 20 November 2019 | 11:20am
Keadaan kantin Hong Kong Polytechnic University tempat penunjuk perasaan berkumpul di Daerah Hung Hom, Hong Kong. - Foto AFP
Keadaan kantin Hong Kong Polytechnic University tempat penunjuk perasaan berkumpul di Daerah Hung Hom, Hong Kong. - Foto AFP

Polis temui 3,900 bom petrol di universiti Hong Kong

HONG KONG: Kira-kira 1,100 orang ditangkap dalam tempoh sehari ketika polis menemui lebih 3,900 bom petrol di Universiti China Hong Kong (CUHK), paling banyak dijumpai di satu lokasi di bandaraya itu.

Bercakap kepada wartawan semalam, jurucakap polis berkata, kakitangan CUHK dan Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) melaporkan kecurian bahan kimia bahaya dari makmal institusi masing-masing.

“Keadaan membimbangkan apabila universiti di Hong Kong menjadi kilang senjata. Mengenai keadaan di PolyU, polis mencari resolusi secara aman,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan kekerasan adalah jalan terakhir kepada keganasan perusuh.

Sebahagian penunjuk perasaan tidur dibahagian tempat letak kenderaan Hong Kong Polytechnic University. - Foto AFP
Sebahagian penunjuk perasaan tidur dibahagian tempat letak kenderaan Hong Kong Polytechnic University. - Foto AFP

Puluhan penunjuk perasaan berlindung dalam PolyU enggan menyerah diri ketika polis mengepung kampus itu hari ketiga berturut-turut.

Mereka tidak mengendahkan amaran polis dan enggan meninggalkan premis itu, kata jurucakap polis.

Kira-kira 1,100 orang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk terbabit dalam rusuhan dan memiliki senjata.

“Semalam, dengan dibantu kakitangan universiti, pegawai memasuki kampus untuk mengumpulkan bukti dan melupuskan bahan bahaya. Lebih 3,900 bom petrol dirampas, angka tertinggi ditemui di satu lokasi.

“Saya sedih dengan laporan bahawa CUHK menjadi pangkalan pengeluaran bom petrol,” katanya. — Agensi

Berita Harian X