Rabu, 20 November 2019 | 8:29am
Polis menahan penunjuk perasaan dan pelajar yang cuba melarikan diri dari PolyU semalam. -Foto AFP
Polis menahan penunjuk perasaan dan pelajar yang cuba melarikan diri dari PolyU semalam. -Foto AFP

Perampas universiti Hong Kong enggan serah diri

HONG KONG: Ratusan penunjuk perasaan prodemokrasi yang merampas dan menduduki sebuah universiti di bandaraya ini tidak mengendahkan amaran menyerah diri semalam masuk hari ketiga pertembungan dengan polis.

Ia berlaku ketika China menghantar isyarat ia sudah bersabar selama hampir enam bulan sepanjang pergolakan di wilayah itu.

Bimbang ditangkap atau ditembak polis, sejumlah penunjuk perasaan bersembunyi dalam Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) ketika malam berlabuh.

Penunjuk perasaan ditahan ketika cuba meninggalkan kampus PolyU semalam. -Foto Reuters
Penunjuk perasaan ditahan ketika cuba meninggalkan kampus PolyU semalam. -Foto Reuters

Rampasan di PolyU bermula Ahad lalu apabila ribuan penunjuk perasaan menduduki kampus itu sebagai sebahagian kempen meluas kekacauan besar-besaran di seluruh bandaraya ini yang bermula minggu lalu.

Konfrontasi berterusan itu bertukar kepada krisis prodemokrasi ekstrem dan berpanjangan, yang menyaksikan jutaan berhimpun di jalanan sejak Jun lalu untuk menyuarakan kemarahan terhadap China kerana menghakis kebebasan di wilayah itu.

Ketika rampasan, penunjuk perasaan bertindak balas dengan membaling Molotov koktel, panah dan bata ke arah anggota polis dan sebagai balasan, anggota keselamatan itu mengugut menggunakan peluru hidup.

Sesetengah penunjuk perasaan melepaskan diri dengan turun menggunakan tali dari sebuah jambatan ke jalan raya sebelum menunggang motosikal yang sudah menunggu.

Yang lain menyusup ke dalam saluran pembetung untuk cuba mencari jalan keluar. Dalam usaha mengalih perhatian polis, puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu kampus PolyU malam Isnin lalu ketika pertembungan serentak di daerah Kowloon berhampiran.

Penunjuk perasaan cuba melarikan diri menggunakan saluran pembetung untuk mengelak ditangkap dalam kampus PolyU. -Foto Reuters
Penunjuk perasaan cuba melarikan diri menggunakan saluran pembetung untuk mengelak ditangkap dalam kampus PolyU. -Foto Reuters

Anggota bomba bersiap sedia masuk ke dalam terowong PolyU di mana penunjuk perasaan cuba melarikan diri. -Foto Reuters
Anggota bomba bersiap sedia masuk ke dalam terowong PolyU di mana penunjuk perasaan cuba melarikan diri. -Foto Reuters

Rakaman kelmarin menunjukkan polis berperisai memukul penunjuk perasaan dengan cota ketika terbaring di tanah. Seorang pegawai dirakam mengetuk kepala seorang lelaki yang sudah ditumpaskan.

Dakwaan kekejaman polis adalah aduan utama dalam pergerakan bantahan. Pegawai kanan bertegas, anggota mereka bertindak sewajarnya.

Dalam ulasan awam pertamanya berhubung krisisi PolyU, Ketua Eksekutif bandaraya ini Carrie Lam berkata, menyerah diri adalah satu-satunya cara mencapai perdamaian.

“Objektif hanya dapat dicapai dengan kerja sama penuh penunjuk perasaan termasuk perusuh. Mereka perlu menghentikan keganasan, menyerahkan senjata dan menyerah diri secara aman dan patuh arahan polis,” katanya.

Lam berkata, mereka yang menyerah diri tidak akan ditahan walaupun penunjuk perasaan berusia lebih 18 tahun berdepan tuduhan merusuh.

Ketua Superintendan polis, Kwok Ka-chuen berkata semalam, kira-kira 1,000 orang ditahan di seluruh bandaraya itu sejak 24 jam lalu. -AFP

Berita Harian X